EKONOMI

OPERASI RDMP BALIKPAPAN TINGKAT KAPASITI PENAPISAN INDONESIA

16/01/2026 05:49 PM

JAKARTA, 16 Jan (Bernama) - Selepas hampir sedekad pembangunan, projek Pelan Induk Pembangunan Penapisan Minyak (RDMP) Balikpapan, inisiatif utama di bawah program RDMP nasional PT Pertamina (Persero) kini memasuki fasa awal operasinya.

Permulaan operasi itu menandakan satu kemajuan penting dalam usaha pemodenan penapisan minyak di Indonesia.

Naib Presiden komunikasi korporat Pertamina, Muhammad Baron berkata RDMP merupakan program strategik nasional yang bertujuan untuk memodenkan loji penapisan sedia ada di Indonesia.

“Program ini bertujuan untuk meningkatkan kapasiti penapisan, menambah baik kualiti bahan api bagi memenuhi piawaian antarabangsa dan mempertingkat keselamatan dan daya saing tenaga,” katanya kepada Bernama.

Baron berkata loji penapisan Balikpapan ketika ini menghasilkan 260,000 tong sehari, dan di bawah RDMP, kapasiti penapisan atau pemprosesan bahan api dijangka meningkat kepada 360,000 tong sehari.

Selain Balikpapan, Pertamina mengendalikan lima loji penapisan lain di seluruh Indonesia dan kini menghasilkan jumlah kapasiti sekitar 1.1 juta tong sehari.

Menurut data Pertamina, projek RDMP Balikpapan dimulakan sekitar 2016 dan melalui pelbagai fasa pembinaan sebelum mencapai kesediaan operasi menjelang akhir 2025.

Projek tersebut yang disokong oleh pembinaan dan pembangunan pelbagai infrastruktur tenaga bersepadu, dirasmikan oleh Presiden Indonesia Prabowo Subianto pada Isnin lepas.

Infrastruktur ini, kata Baron, termasuk kemudahan tambatan dengan kapasiti 320,000 tan, pelampung terapung yang berlabuh di luar pantai Kalimantan yang membolehkan kapal pengangkut minyak mentah  besar berlabuh dan memindahkan minyak mentah ke loji penapisan.

Projek itu juga terdiri daripada dua tangki simpanan minyak mentah gergasi tambahan di Lawe-lawe, setiap satu dengan kapasiti satu juta tong, yang digunakan untuk menyimpan minyak mentah sebagai bahan mentah untuk loji penapisan Balikpapan.

“Bahagian yang paling penting adalah kemudahan penapisan utama, termasuk unit penyulingan mentah dan kompleks pemecahan pemangkin cecair sisa, yang merupakan sebahagian daripada projek  penaiktarafan loji penapisan Balikpapan, seperti yang digariskan dalam dokumentasi RDMP Pertamina.

“Selain kemudahan penapisan, Baron berkata infrastruktur bersepadu itu merangkumi aset tenaga lain, iaitu saluran paip gas Senipah-Balikpapan sepanjang 78 kilometer yang membekalkan gas untuk operasi penapisan, dan Terminal Bahan Api Tanjung Batu, yang berfungsi sebagai hab penerimaan dan pengedaran produk bahan api kepada pelanggan di timur Indonesia. Baron berkata

Baron berkata, di bawah RDMP, loji penapisan Balikpapan juga dijangka melonjakkan pengeluaran petrol daripada kira-kira 42,000 tong sehari kepada 142,000 tong sehari, dan pengeluaran LPG daripada kira-kira 48,000 tan setahun kepada 384,000 tan setahun.

Menurutnya, projek itu juga akan membolehkan loji penapisan menambah baik kualiti bahan api kepada Euro 5 dan meningkatkan fleksibiliti memproses minyak mentah dan menghasilkan produk berkualiti tinggi.

Beliau berkata loji penapisan itu juga akan menghasilkan produk petrokimia, termasuk 58,000 tan sulfur setahun dan 225,000 tan propilena setahun, yang menyokong integrasi hiliran dan penciptaan nilai.

“Dengan program RDMP, loji penapisan Balikpapan akan menjadi loji penapisan paling maju dan terbesar di Indonesia.

“Program ini juga akan memberi manfaat kepada keterjaminan tenaga bagi bahagian timur Indonesia berikutan peningkatan kapasiti penapisan, mewujudkan pekerjaan sejak fasa pembangunan, meningkatkan ekonomi tempatan seperti perusahaan kecil dan sederhana, kedai, dan kemudahan sokongan seperti restoran, kafe dan hotel,”  katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan