POLITIK

PRN SABAH 'WAKE UP CALL’ UNTUK UMNO LEBIH BERANI HADAPI REALITI HIJRAH POLITIK - ASYRAF WAJDI

16/01/2026 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang lepas perlu menjadi wake up call penting kepada UMNO untuk lebih berani berdepan realiti perubahan dan penghijrahan politik dalam landskap semasa.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu hanya memperoleh 144,584 undi pada PRN Sabah, meskipun ahli UMNO berdaftar di negeri berkenaan ialah 622,637 orang, sekali gus membuktikan ahli parti tidak semestinya pengundi dan pengundi pula tidak semestinya kekal setia bersama parti.

Beliau juga berkata sejak 2016 berlaku tiga gelombang penghijrahan besar-besaran ahli dan kepimpinan UMNO Sabah ke parti lain iaitu ke Parti Warisan yang ditubuhkan pada 2016, penyertaan sebahagian pimpinan ke parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada 2018 dan sebahagian lagi ke Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 2023.

“Setiap gelombang ini telah menghakis kekuatan UMNO, memotong satu demi satu, urat nadi perjuangan UMNO Sabah.

“Inilah realiti penghijrahan politik yang mesti kita hadapi dengan berani. Bukan sahaja di Sabah tetapi di seluruh negara. Kesetiaan hari ini tidak boleh lagi dianggap automatik,” katanya ketika membentangkan laporan parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Asyraf Wajdi berkata walaupun UMNO sering meraikan pertambahan angka keahlian parti sebagai petanda kekuatan tetapi hakikat yang mesti diterima ialah angka keahlian tidak semestinya diterjemahkan kepada kemenangan pilihan raya.

“Trend penurunan ini bukan terhad kepada Sabah sahaja. Dalam tiga Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas PRU13, PRU14 dan PRU15 pola yang sama berulang.

“Maka menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka, Johor dan seterusnya PRU16, kita wajib bertanya dengan jujur: Adakah pertambahan 46,655 ahli pada tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhannya 3.525 juta, sudah cukup untuk menjamin kemenangan?” tambahnya.

Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang berlangsung dari 14 hingga 17 Jan itu menerima kehadiran sebanyak 6,412 perwakilan yang merangkumi perwakilan daripada Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan