JENAYAH & MAHKAMAH

DUA BERADIK WANITA DITAHAN LAKUKAN PEMBELIAN BERULANG PETROL DI STESEN MINYAK

15/01/2026 09:26 PM

KOTA BHARU, 15 Jan (Bernama) -- Sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan dua beradik wanita berusia 33 dan 23 tahun, selepas didapati melakukan pembelian berulang minyak petrol di sebuah stesen minyak di Tumpat, semalam.

Timbalan Pengarah KPDN Kelantan Aswadi Jaafar berkata kedua-dua mereka ditahan pada 1.57 tengah hari, hasil maklumat risikan pasukan penguat kuasa yang menjalankan Ops Gempur Barang Kawalan di sekitar Tumpat.

“Pasukan yang melihat keadaan itu telah bertindak mengekori sebuah kereta jenis Proton Wira Sedan meghala ke Kampung Jubakar Darat, Tumpat.

“Pemeriksaan lanjut menemukan lima tong disyaki berisi minyak petrol di dalam bonet kereta tersebut, serta sebuah tangki minyak yang dipercayai telah diubah suai bagi tujuan penyimpanan petrol dianggarkan 250 liter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menyita kereta tersebut dan kedua-dua wanita yang ditahan itu akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan