KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Kerajaan MADANI akan terus memastikan kebebasan berkarya dipelihara, agar penggiat seni dapat menghasilkan karya yang lebih berani, berkualiti dan bermakna untuk masyarakat dan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata beliau menerima kunjungan hormat Pengerusi Eksekutif Skop Productions Datuk Yusof Haslam yang juga pengarah dan penerbit tersohor negara, bagi membincangkan perkembangan dan hala tuju industri perfileman tempatan.
“Dalam pertemuan ini, kami bertukar pandangan mengenai cabaran dan potensi industri kreatif termasuk isu cukai hiburan yang dibangkitkan, yang akan diteliti dan dibincangkan lanjut bersama kerajaan negeri,” kata Anwar.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan terhadap karya filem “Sheriff: Narko Integriti” yang menyentuh isu rasuah dan integriti, selain menghargai sokongan penggiat seni terhadap usaha kerajaan menjunjung keterbukaan dan kebebasan bersuara.
-- BERNAMA
