KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berharap sambutan perayaan Ponggal tahun ini membawa limpahan rezeki, kesihatan yang baik, kemakmuran, serta mengeratkan perpaduan dan persefahaman dalam kalangan komuniti masyarakat India dan rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Beliau menyatakan demikian menerusi hantaran di Facebook hari ini sempena sambutan perayaan yang diraikan masyarakat Tamil itu, sambil mengucapkan Selamat Hari Ponggal kepada seluruh masyarakat India di negara ini.
“Iniya Pongal Nalvazhthukkal. Selamat Hari Ponggal kepada seluruh masyarakat India dan semua yang meraikannya,” katanya.
Ponggal merupakan perayaan kesyukuran masyarakat Tamil bagi menzahirkan penghargaan kepada Tuhan atas limpahan hasil pertanian.
Sambutan berlangsung selama empat hari bermula dengan Bhogi, diikuti Thai Ponggal iaitu persembahan nasi manis kepada Dewa Matahari, Mattu Ponggal sebagai penghargaan kepada haiwan ternakan, dan Kaanum Ponggal.
-- BERNAMA
