BINTULU, 14 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak tidak pernah mengumumkan bahawa mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) tidak akan menerima bantuan wang ihsan, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata keutamaan kerajaan negeri ketika bencana banjir adalah keselamatan nyawa.
“Justeru, pemindahan ke PPS amat penting, terutama bagi kawasan berisiko tinggi.
“Saya tidak pernah buat pengumuman seperti itu. Apa yang saya tekankan ialah semua pihak terlibat dan berdepan risiko perlu berpindah. Tujuan utama pemindahan adalah untuk menyelamatkan nyawa,” katanya ketika menjawab soalan pemberita selepas lawatan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke PPS Dewan Suarah Bintulu hari ini.
Uggah berkata terdapat kawasan yang terjejas teruk sehingga paras air mencecah bumbung rumah panjang, dan dalam keadaan sedemikian mangsa tidak mempunyai pilihan selain berpindah.
Beliau turut mendedahkan terdapat kes di Kuching apabila mangsa enggan berpindah sehingga pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan memindahkan mereka demi keselamatan.
Sementara itu, Uggah ketika mengulas isu pemberian bantuan kepada mangsa yang enggan berpindah kerana ingin menjaga kediaman atau rumah panjang mereka berkata kerajaan negeri mempertimbangkan perkara itu secara kes demi kes dengan syarat tertentu.
“Kami telah beri garis panduan pada Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat bahagian. Dalam keadaan tertentu, seperti keperluan menjaga rumah panjang, sebanyak dua atau tiga orang mangsa boleh dipertimbangkan,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan langkah keselamatan tambahan perlu diambil termasuk kerjasama dengan pihak polis untuk memantau penempatan atau rumah panjang yang ditinggalkan bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.
-- BERNAMA
