KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu siasatan segera dan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian letupan gas penyaman udara di Universiti HELP di ibu negara, Isnin lepas.
Menerusi catatan di media sosial X hari ini, Anwar berkata hal itu untuk memastikan aspek keselamatan semua pihak terjamin.
Beliau turut mendoakan kesembuhan dan kekuatan kepada mangsa, Reeya Kaur Thandal yang masih menjalani rawatan berikutan insiden berkenaan.
Perdana Menteri juga mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Soo Yu Juan, pelajar yang meninggal dunia akibat kejadian itu.
"Takziah kepada keluarga mendiang Soo Yu Juan atas pemergian anak tersayang dalam insiden tersebut, moga diberi ketabahan dan kekuatan, juga semua yang terkesan dengan tragedi ini," kata Anwar.
Sebelum ini, media melaporkan Soo, 24, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian letupan gas penyaman udara di universiti swasta itu kira-kira 11.40 pagi.
Soo merupakan pelajar tahun ketiga kursus Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).
-- BERNAMA
