JENAYAH & MAHKAMAH

PROGRAM RTK 2.0: PENGARAH SYARIKAT WARGA BANGLADESH DIDENDA RM50,000 KEMUKA DOKUMEN PALSU

14/01/2026 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat warga Bangladesh didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mengemukakan dokumen palsu kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi permohonan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0), tiga tahun lepas.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas Mohammed Jasim, 43, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan. 

Mahkamah juga memerintahkan bapa lima anak itu menjalani hukuman penjara setahun jika gagal membayar denda.

Dia didakwa menggunakan surat penganugerahan sebuah syarikat bagi projek cadangan tambahan dan perubahan pada bangunan kondominium Jalan Tun Razak di sini bertarikh 1 Julai 2023, yang diketahui tertuduh sebagai palsu.

Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Penguatkuasaan JIM di Putrajaya pada 27 Sept 2023 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Farith Emier Farhan Morni merayu hukuman berbentuk denda atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa termasuk sanggup mengambil penerbangan dari Bangladesh pada November 2025 selepas dihubungi pihak berkuasa.

Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip pula memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh telah mengkhianati kepercayaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia kerana dia menggunakan dokumen palsu bagi projek terbabit.

Berdasarkan fakta kes, JIM mengeluarkan e-mel kepada syarikat tertuduh iaitu Nisa Resources Sdn Bhd bertarikh 18 Sept 2023 bagi penetapan janji temu bagi permohonan RTK 2.0 yang dibuat syarikat itu untuk pekerja sektor pembinaan seramai 14 pekerja melalui Sistem Temujanji Online (STO). 

Tertuduh, melalui isterinya yang juga seorang daripada pengarah syarikat berdaftar bagi Nisa Resources telah mengemukakan surat Permohonan Temujanji Thumbprint bagi Program RTK 2.0 untuk semua pekerja sektor pembinaan syarikat itu berserta senarai pekerja atau pendatang tanpa izin bertarikh 27 Sept tahun sama.

Semasa janji temu di Bahagian Penguatkuasa Putrajaya, tertuduh melalui isterinya secara tidak jujur menggunakan satu dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat penganugerahan daripada Syarikat Orion Management Corporation. 

Dokumen itu kemudian telah disahkan sebagai palsu oleh pihak The Orion Condominium Management Corporation, yang mengesahkan bahawa projek tidak wujud, format kepala surat juga salah dan mereka tidak pernah berurusan dengan Nisa Resources.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan