AM

TUANKU MUHRIZ TITAH PERKUKUH USAHA TANGANI KOS SARA HIDUP DI NEGERI SEMBILAN  

14/01/2026 12:43 PM

KUALA PILAH, 14 Jan (Bernama) --  Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah bahawa usaha menangani kos sara hidup perlu terus diperkukuh supaya tiada rakyat di negeri ini tercicir, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Baginda bertitah pencapaian mengurangkan kemiskinan tegar wajar diperkasakan melalui bantuan bersasar, kawalan harga, jaminan makanan serta peningkatan peluang pendapatan secara tersusun.

"Beta menyeru rakyat agar mengamalkan perbelanjaan berhemat, meningkatkan ilmu dan kemahiran serta menyokong inisiatif kerajaan negeri.

"Dalam masa yang sama, sebagai teras peningkatan kualiti hidup, kerajaan hendaklah mempergiat  penyediaan kemudahan kesihatan serta mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan," titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan ke-78 baginda di Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini. 

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Tuanku Muhriz turut berharap pembinaan Hospital Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai dapat dipertimbangkan dengan teliti kerana ia berpotensi memperkukuh perkhidmatan kesihatan negeri serta menyokong naik taraf dan peluasan Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, bagi meningkatkan kapasiti dan mutu perkhidmatan sektor kesihatan.

Menyentuh soal pendidikan, baginda bertitah prestasi pendidikan di negeri ini menunjukkan trend peningkatan memberangsangkan, iaitu mencerminkan komitmen berterusan semua pihak, justeru ia perlu diperkasakan seiring dengan pembentukan sahsiah dan akhlak yang kukuh.

“Beta amat prihatin terhadap gejala sosial yang semakin membimbangkan dalam kalangan generasi muda pada hari ini, termasuklah penyalahgunaan dadah, kegiatan merempit dan pelbagai perlakuan negatif yang boleh merosakkan masa depan mereka," titah baginda.

Baginda bertitah pendidikan merupakan asas terpenting dalam membentuk sahsiah dan jati diri anak-anak dan menyokong usaha berterusan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dalam melaksanakan Modul Aulad Sejahtera pada peringkat prasekolah sejak dua tahun lepas, yang memberi penekanan kepada pembentukan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Pada peringkat pendidikan menengah pula, Tuanku Muhriz turut bertitah para pelajar seharusnya digalakkan melibatkan diri secara aktif dalam persatuan dan kelab di sekolah sebagai medan pembinaan jati diri, sahsiah dan kepimpinan.

Baginda menekankan bahawa penyertaan dalam persatuan beruniform serta kelab yang berteraskan sukan, kebajikan dan semangat gotong-royong bukan sahaja mampu membentuk disiplin dan rasa tanggungjawab sosial, malah memperkukuh nilai keprihatinan, kerjasama serta budaya sukarela yang penting dalam melahirkan generasi berakhlak, berwibawa dan seimbang.

Sementara itu, Tuanku Muhriz sekali lagi menekankan kepentingan semangat kebersamaan yang mencerminkan spirit of togetherness, merujuk kepada kesediaan rakyat untuk saling memahami, menghormati dan bekerjasama melangkaui perbezaan kaum, agama dan latar belakang.

“Beta yakin bahawa pendekatan pendidikan menyeluruh dan berterusan, berteraskan pelaksanaan Modul Aulad Sejahtera sebagai asas pembentukan nilai, akan melahirkan generasi masa hadapan yang memiliki semangat kebersamaan yang tinggi,” titah baginda.

Tuanku Muhriz turut menegaskan saranan itu ditujukan kepada semua lapisan masyarakat di kampung dan bandar, merentasi pelbagai kaum dan agama dan semua pihak hendaklah berganding bahu dalam mendidik serta membimbing generasi muda sebagai pemimpin demi menjamin masa depan negeri dan negara yang lebih gemilang.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan