AM

UEC: PENGIKTIRAFAN PERLU BERPAKSIKAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN, FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

14/01/2026 12:01 AM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Sebarang perbincangan berkaitan pengiktirafan sijil pendidikan termasuk Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) perlu berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, serta memperkukuh bahasa Melayu dan Sejarah sebagai teras.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata isu UEC ialah soal masa depan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa penyatu negara.

“Bahasa menentukan siapa menguasai universiti, sektor awam dan ekonomi. Apabila bahasa Melayu dilemahkan, anak Melayu yang melalui aliran kebangsaan akan paling terkesan. 

“… justeru sebarang pengiktirafan mesti berpaksikan Perlembagaan dan falsafah pendidikan kebangsaan dan penggunaan bahasa Melayu dan Sejarah wajib ada jika mereka mahu kerajaan mengiktiraf UEC,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Konvensyen Memperkasakan Pendidikan Melayu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini malam ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Pengerusi Sekretariat Konvensyen Memperkasa Pendidikan Melayu Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. 

Ahmad Zahid berkata bagi mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu masa depan, UMNO akan terus memperjuangkan usaha memastikan bahasa itu berkembang sebagai bahasa sains, teknologi dan pemikiran aras tinggi.

“Walaupun ia memerlukan pelaburan yang besar, langkah ini penting bagi menjamin kelangsungan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berdaya saing. 

“Bahasa Melayu mesti diperkasakan sebagai bahasa sains, teknologi dan pemikiran tinggi, yang memerlukan pelaburan dalam pembangunan bahan ilmiah, penghasilan kandungan digital serta latihan guru,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan