DUNIA

PBB LAPOR HAMPIR 95,000 KES MALNUTRISI KANAK-KANAK DI SEMENANJUNG GAZA PADA 2025

13/01/2026 11:59 AM

HAMILTON (Kanada), 13 Jan (Bernama-Anadolu) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin memberi amaran bahawa kekurangan zat makanan atau malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak di Semenanjung Gaza telah mencapai tahap membimbangkan, dengan hampir 95,000 kes dikenal pasti pada 2025, manakala keadaan musim sejuk yang teruk menjejaskan pencapaian bantuan kemanusiaan yang masih rapuh, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Jurucakap PBB Stephane Dujarric berkata pada sidang media bahawa “situasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza kekal kritikal, apabila keadaan cuaca buruk semakin menjejaskan kemajuan yang dicapai melalui tindak balas kemanusiaan.”

Dujarric berkata agensi -agensi yang mengetuai respons pemakanan terus mengesan jumlah besar kanak-kanak yang memerlukan bantuan segera.

“Dalam pada itu, rakan kemanusiaan kami yang mengetuai usaha menangani malnutrisi melaporkan bahawa pada bulan lalu mereka menyaring lebih 76,000 kanak-kanak dan mengenal pasti sekitar 4,900 kes malnutrisi akut, termasuk lebih 820 kes kekurangan zat makanan akut yang teruk,” katanya.

Beliau menambah bahawa “angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes malnutrisi akut yang dikenal pasti pada 2025 meningkat kepada hampir 95,000.”

Dujarric berkata rakan kongsi PBB menyediakan bekalan seperti khemah, kanvas tarpal dan selimut kepada 28,000 keluarga, namun memberi amaran bahawa “1.1 juta orang masih sangat memerlukan bantuan segera ketika hujan ribut terus merosakkan dan memusnahkan banyak tempat perlindungan sedia ada.”

“Rakan kongsi kami menegaskan bahawa khemah hanyalah penyelesaian sementara dan lebih banyak bekalan seperti set peralatan, simen dan jentera berat untuk membersihkan sisa runtuhan, selain pembiayaan berterusan yang diperlukan bagi beralih daripada bantuan kecemasan kepada usaha pemulihan awal,” katanya.

Mengulas kesan cuaca buruk terhadap kanak-kanak, Dujarric berkata bahawa “sejak gencatan senjata dan sehingga penghujung tahun, rakan kongsi kami berjaya mengagihkan lebih 310,000 set pakaian musim sejuk kanak-kanak serta lebih 112,000 pasang kasut sebagai sebahagian daripada usaha bantuan musim sejuk.”

“Mereka juga memasang 150 khemah khas di seluruh Gaza untuk digunakan sebagai ruang selamat dan mesra kanak-kanak,” katanya.

Dujarric berkata rakan pendidikan PBB di lapangan membuka 18 lagi ruang pembelajaran sementara untuk 35,000 pelajar Gaza, sambil menambah: “Jumlah keseluruhan ruang pembelajaran sementara yang beroperasi kini ialah 440, menempatkan sekitar 268,000 kanak-kanak.”

Namun, beliau menegaskan bahawa “bekalan pendidikan terus tidak dibenarkan masuk oleh pihak berkuasa Israel atas alasan pendidikan bukan aktiviti kritikal pada fasa pertama gencatan senjata.”

“Kami percaya bahawa pendidikan adalah aktiviti kritikal,” tegasnya sambil menggesa “akses yang cepat, mampan dan tanpa halangan bagi membolehkan kami serta rakan kongsi meningkatkan bantuan dengan lebih pantas untuk mengelakkan kemerosotan lanjut dan meringankan penderitaan rakyat Gaza.”

Ketika ditanya mengenai kemusnahan berterusan oleh Israel di Semenanjung Gaza, Dujarric berkata: “Kami mahu melihat pemberhentian kemusnahan terhadap apa sahaja yang masih tinggal di Gaza.”

“Kami mahu semua pihak bergerak ke fasa kedua bagi memulakan usaha membina semula,” katanya.

Perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza pada 10 Okt lalu di bawah pelan 20 perkara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, menghentikan serangan Israel selama dua tahun yang mengorbankan lebih 71,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,000 sejak Oktober 2023.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan