PUTRAJAYA, 12 Jan (Bernama) -- Kerajaan bakal memperkenalkan satu modul latihan pengurusan khas bagi memperkukuh tadbir urus dan pengurusan kewangan badan bukan kerajaan (NGO) Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata langkah itu penting bagi menangani isu kekurangan ilmu dan kemahiran pengurusan yang menjurus kepada dakwaan berlakunya salah laku seperti rasuah dan penyelewengan dalam NGO Islam.
“Kami sudah berbincang untuk memastikan satu modul terbaik yang komprehensif dan holistik untuk kami bantu NGO-NGO Islam ini dengan persiapan pengetahuan pengurusan, kewangan, pentadbiran, tatakelola dan tadbir urus.
“Sebab kami melihat keperluan ini sangat-sangat mendesak kerana mereka ada liabiliti dan amanah,” katanya selepas menyampaikan amanat tahun baharu di sini hari ini.
Terdahulu, Zulkifli dalam amanatnya berkata kerajaan tidak akan memperkenalkan pelan baharu dalam pengurusan hal ehwal agama Islam, sebaliknya meneruskan dasar dan pelan sedia ada dengan penyesuaian dan penambahbaikan yang perlu.
Beliau berkata pendekatan itu bagi memastikan kesinambungan dasar serta mengelakkan perubahan pelan setiap kali berlaku pertukaran kepimpinan.
“Kami akan meneruskan apa yang baik dan melakukan penyesuaian, pindaan dan penambahbaikan terhadap pelan-pelan yang ada pada hari ini,” katanya, sambil menambah satu sesi permukiman akan diadakan bagi merangka semula dokumen perancangan berkenaan.
Zulkifli ketika mengulas pendekatan dakwah dan pengurusan isu agama menegaskan keperluan perubahan kaedah daripada bersifat defensif dan reaktif kepada pendekatan yang lebih proaktif dan ke hadapan.
“Pendekatan kami sebelum ini adalah terlalu defensif dan responsif. Hanya apabila ada isu, baru kami menjawab.
“Yang paling penting hari ini, saya mengajak kepada semua untuk kita menzahirkan keindahan Islam yang sebenar kepada seluruh dunia dengan langkah yang proaktif, iaitu memberikan kefahaman dan pencerahan kepada masyarakat.
Zulkifli berkata usaha itu penting bagi mengelakkan masyarakat daripada terus dipengaruhi pandangan ekstrem dan toksik yang mencemarkan imej Islam.
-- BERNAMA
