Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Langkah Indonesia untuk melaksanakan mandat biodiesel B50 dijangka dapat meningkatkan lagi daya saing Malaysia di pasaran minyak sawit global, kata ahli ekonomi.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Madya Dr Norlin Khalid berkata dasar Indonesia itu berpotensi menjadikan Malaysia sebagai alternatif pilihan untuk pengeksport dan pembeli menerusi penetapan harga, bekalan diyakini serta kualiti produk yang dipercayai.
Beliau juga menyifatkan perubahan dasar itu akan menjadikan minyak sawit Indonesia sebagai kurang kompetitif berikutan levi eksport lebih tinggi serta penawaran eksport yang ketat, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai sumber bekalan alternatif dan dipercayai.
“Sebagai pengeluar terbesar minyak sawit dunia, keputusan Indonesia menaikkan levi eksportnya bagi membiayai mandat biodiesel, sebaliknya dijangka mempengaruhi dinamik bekalan minyak sawit global.
“Ini memandangkan bahagian besar pengeluaran komoditi itu diserap oleh program biodiesel domestik yang akan mengurangkan lagi penawaran bagi tujuan eksport,” katanya kepada Bernama.
Bagi konteks itu, kata Norlin, kos eksport lebih tinggi dan penyerapan minyak sawit domestik yang lebih kukuh di Indonesia akan mewujudkan peluang bagi industri minyak sawit Malaysia, terutama dalam pasaran sensitif harga dan berteraskan jaminan bekalan seperti China, Afrika dan Timur Tengah.
Pada 8 Jan, 2025, laporan media menyatakan Indonesia berkemungkinan meningkatkan levi eksport minyak sawitnya bagi menyokong mandat biodiesel negara itu.
Laporan itu menyatakan negara berkenaan telah melaksanakan campuran biodiesel mandatori 40 peratus atau dikenali sebagai B40 -- kadar campuran tertinggi di dunia dan berhasrat meningkatkan angka itu kepada 50 peratus (B50) pada lewat tahun ini.
Susulan itu, satu mesyuarat peringkat menteri dijadual berlangsung pada minggu ini bagi membincangkan perkara berkenaan.
Norlin berkata perubahan dasar itu dijangka menyumbang kepada pengukuhan harga selain memantapkan pendedahan Malaysia terhadap kejutan bekalan dipacu oleh Indonesia yang memberi persekitaran sokongan harga ketika keadaan bekalan global yang terhad lebih cenderung menaikkan paaras harga minyak sawit mentah (MSM).
“Walaupun pertumbuhan pengeluaran minyak sawit Malaysia kekal stabil, industri tetap mendapat manfaat daripada kesan positif harga. Ini terutamanya dasar biodiesel Indonesia yang mendorong peningkatan permintaan domestik serta cenderung menyokong harga penanda aras yang lebih tinggi dengan kesannya boleh dilihat dalam niaga hadapan MSM di Bursa Malaysia Derivatives,” katanya.
Secara menyeluruh, Norlin berkata Malaysia di kedudukan baik untuk mengukuhkan peranannya dalam bekalan minyak sawit global dengan memenuhi permintaan tambahan di pasaran eksport utama selain menyumbang kepada kestabilan pasaran.
Dari sudut perspektif lebih meluas, beliau berkata implikasi langkah Indonesia melaksanakan mandat biodiesel B50 itu akan turut melangkaui pasaran minyak sawit global.
Senario itu dijangka menyumbang kepada peningkatan permintaan minyak sawit domestik lebih kukuh, mengehadkan jumlah eksport dan menjadikan pasaran global lebih reaktif terhadap perubahan dasar.
Keadaan sedemikian berkemungkinan besar menyebabkan pengukuhan purata harga yang ketara serta meningkatkan ketidaktentuan harga apabila pasaran memberi reaksi terhadap perubahan peruntukan biodiesel, pelarasan levi dan penawaran atau bekalan suapan bahan atau bahan mentah, katanya.
“Selain itu, bagi konteks pasaran minyak sayuran yang meluas, bekalan minyak sawit yang lebih ketat akan mengukuhkan kaitan dengan minyak sayuran utama lain menerusi kesan penggantian.
“Bagi perspektif ekonomi pula, B50 menandakan perubahan ke arah sistem komoditi pertanian berkaitan tenaga dan dasar biobahan api menjadi penentu utama kestabilan harga global serta kesan limpahan rentas komoditi,” katanya.
-- BERNAMA
