AM

KTMB PERKENAL TREN KHAS EXCURSION RTSM SEMPENA TAHUN BAHARU CINA

12/01/2026 07:08 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan Perkhidmatan Tren Khas Excursion RTSM edisi Tahun Baharu Cina yang menghubungkan Stesen KL Sentral dan Padang Besar, bersempena dengan sambutan perayaan itu bulan depan.

KTMB dalam kenyataan memaklumkan perkhidmatan tren khas itu akan beroperasi selama empat hari, iaitu pada 13, 14, 16 dan 17 Feb, sebagai langkah proaktif KTMB bagi memenuhi permintaan perjalanan penumpang yang meningkat ke destinasi utara negara sepanjang musim perayaan.

"Sebanyak 336 tiket ditawarkan bagi setiap perjalanan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,344 tiket tersedia kepada orang ramai dan jualan tiket dibuka mulai hari ini menerusi saluran rasmi KTMB," menurut kenyataan itu hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Azlan Shah Al Bakri dalam kenyataan sama berkata pengenalan tren khas itu bertujuan membantu mengurangkan kesesakan lebuh raya pada musim perayaan dan cuti panjang.

“Melalui pengenalan tren khas ini, KTMB berharap dapat membantu mengurangkan beban kesesakan jalan raya serta menawarkan pilihan perjalanan yang lebih selesa, khususnya kepada warga emas dan keluarga yang membawa kanak-kanak,” katanya.

Menurut KTMB, perkhidmatan ini menawarkan koc tempat tidur superior dengan 120 katil bagi setiap perjalanan serta koc tempat duduk Kelas Premier dan Kelas Superior, selain penumpang berpeluang menikmati kemudahan koc Cafe dan koc Chillax, yang disediakan khusus untuk memastikan perjalanan lebih santai dan menyeronokkan.

Sepanjang perjalanan, tren berkenaan akan berhenti di 11 stesen utama, iaitu Stesen Sungai Buloh, Tanjung Malim, Kampar, Batu Gajah, Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping, Sungai Petani, Alor Setar dan Arau sebelum tiba di Padang Besar.

"Pengguna boleh mendapatkan tiket secara tanpa tunai melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kios, kaunter tiket dan laman sesawang rasmi  www.ktmb.com.my. Tambang sehala ditawarkan bermula serendah RM70 bagi Kelas Superior dan RM90 bagi tempat tidur Kelas Superior,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan jadual, tren khas itu akan berlepas dari Stesen KL Sentral pada 10.30 malam dan tiba di Padang Besar pada 7.28 pagi bagi perjalanan pada 13 dan 16 Feb, manakala bagi perjalanan pada 14 dan 17 Feb, tren dari Padang Besar akan bergerak pada 10 malam dan tiba di KL Sentral pada 6.44 pagi.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan