KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- One Gasmaster Holdings Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM19.38 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE pada 27 Jan 2026.
Penyedia perkhidmatan pemantauan alam sekitar, pengesanan gas, penyelesaian paip gas dan kebersihan industri itu dalam kenyataan hari ini berkata hasil daripada IPO itu akan membolehkan kumpulan untuk membiayai rancangan pengembangannya.
"One Gasmaster telah memperuntukkan 19.41 peratus daripada hasil untuk kumpulan bagi meluaskan tawaran perkhidmatan termasuk penyediaan penyelesaian kawalan pelepasan.
“Sebanyak 8.66 peratus lagi akan digunakan untuk penubuhan makmal penentukuran tambahan di pejabat di Damansara manakala 25.22 peratus diperuntukkan untuk menubuhkan pejabat cawangan baharu dan makmal penentukuran di Johor, Terengganu dan Pulau Pinang,” menurut kenyataan itu.
One Gasmaster berkata baki hasil IPO itu akan digunakan untuk keperluan modal kerja kumpulan dan menampung perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Urusannya Ivan Tan berkata pengembangan syarikat itu adalah tepat pada masanya seiring dengan peralihan global ke arah pematuhan penyahkarbonan serta peningkatan usaha kerajaan untuk memperkukuh peraturan alam sekitar seperti Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Negara.
"Digabungkan dengan pengembangan makmal kalibrasi kami, inisiatif ini memperkukuh komitmen kami untuk menyokong pelanggan dalam memenuhi keperluan kawal selia, meningkatkan kemampanan operasi dan mewujudkan nilai jangka panjang," katanya.
IPO One Gasmaster melibatkan sejumlah 77.5 juta saham biasa baharu pada harga terbitan 25 sen sesaham.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 310,000,000 saham dan harga IPO yang dinyatakan, permodalan pasaran One Gasmaster berjumlah RM77.50 juta selepas disenaraikan.
Tempoh permohonan bagi IPO One Gasmaster dibuka hari ini dan ditutup pada 5 petang, 16 Jan 2026.
Malacca Securities Sdn Bhd adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.
-- BERNAMA
