Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman
KINABATANGAN, 12 Jan (Bernama) -- Kemudahan asas yang dinikmati penduduk Pulau Tanjung Aru hari ini seperti jambatan konkrit, bekalan elektrik 24 jam dan air bersih adalah antara perubahan paling signifikan dalam kehidupan komuniti di kawasan itu.
Menurut penduduk setempat, nikmat yang dikecapi mereka merupakan jasa dan legasi khidmat Datuk Seri Bung Moktar Radin sepanjang beliau mewakili Parlimen Kinabatangan selama lebih dua dekad.
Sulaiman Jafar, 72, berkata kemudahan asas kini jauh berbeza berbanding keadaan pulau itu suatu ketika dahulu apabila kehidupan harian penduduk bergantung sepenuhnya kepada sumber semula jadi dan infrastruktur yang serba kekurangan.
Beliau berkata sebelum kemudahan asas itu dibangunkan, penduduk terpaksa mengangkut air menggunakan baldi dari sumber semula jadi yang terletak kira-kira tiga kilometer dari kampung berkenaan.
“Kalau dahulu, kita pakai jambatan kayu sahaja… bekalan elektrik pula 12.30 malam sudah dimatikan. Sekarang ini sangat-sangat okey, 24 jam ada bekalan elektrik, air juga sudah okey... dahulu, pukul 5 pagi kami akan pergi ambil air di air terjun,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sulaiman juga berkata beliau amat terkesan dengan pemergian bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dan Ahli Parlimen Kinabatangan itu dek kerana jasa dan keprihatinannya terhadap masyarakat Pulau Tanjung Aru yang memiliki lebih 2,000 penduduk.
“Kadang-kadang, bila tengok di televisyen mahu menitis juga air mata... kebaikan dia itu yang orang ingat… dia banyak membantu di sini,” katanya.
Beliau juga berkata bantuan peralatan menangkap ikan yang pernah diterima termasuk enjin sangkut untuk bot nelayan banyak membantu meningkatkan lagi pendapatan dan taraf hidup penduduk.
Sebagai nelayan, Sulaiman berkata pendapatannya yang dianggarkan antara RM1,000 hingga RM3,000 sebulan bergantung sepenuhnya kepada hasil laut, dan bantuan yang pernah diterima sebelum ini memberi impak besar kepada kehidupan seharian penduduk pulau.
Perkara itu turut diakui seorang lagi penduduk, Abdul Samad Hamad, 76, yang menyifatkan penyediaan bekalan air bersih dan bekalan elektrik 24 jam sebagai antara sumbangan terbesar Bung Moktar kepada komuniti di pulau berkenaan.
“Arwah telah banyak membantu di pulau ini… misalnya, lampu di pulau ini sudah 24 jam… air bersih pun (disalurkan menerusi) paip dasar laut dari Sandakan... itu inisiatif dia sendiri,” katanya.
Beliau berkata sebelum bekalan air bersih dapat disalurkan, penduduk terpaksa mendapatkannya dari kawasan sekitar termasuk Pulau Berhala malah ada ketikanya, mereka perlu ke Sandakan bagi keperluan tertentu.
“Kalau dulu kami ambil air di Pulau Berhala, air pun tidak bersih… kalau ada orang kahwin, ramai-ramai ambil air di bandar (Sandakan)… sekarang Alhamdulillah, buka mata sahaja sudah ada air,” katanya.
Sehubungan itu, Abdul Samad berkata sebahagian besar penduduk Pulau Tanjung Aru menyandarkan harapan agar legasi khidmat dan pendekatan kepimpinan Bung Mokhtar, yang sentiasa mendahulukan kebajikan rakyat, tidak terputus.
Mereka berharap ia diteruskan oleh Mohd Kurniawan Naim, anak Allahyarham yang kini bertanding mewakili BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kinabatangan.
“Harapan pakcik, ikutlah cara arwah... jangan pilih-pilih antara miskin atau kaya... bantulah sesiapa yang memerlukan... itu yang kami harapkan daripada pengganti beliau,” katanya.
Walaupun berkongsi nama dengan destinasi peranginan terkenal Tanjung Aru di Kota Kinabalu, Pulau Tanjung Aru yang terletak di timur Sabah bukanlah kawasan pelancongan sebaliknya perkampungan nelayan tradisional yang membekalkan hasil laut.
Terletak kira-kira 5.5 kilometer dari bandar Sandakan, dengan akses hanya melalui pengangkutan bot, perkampungan itu didiami penduduk etnik Brunei iaitu suku kaum minoriti di Sabah.
Bung Moktar, 66, yang merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan sejak tahun 1999 dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag, meninggal dunia pada 5 Dis lepas.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) serta Goldam Hamid (Bebas) dan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan) bagi PRK Dewan Undangan Negeri Lamag.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari hingga 11.59 malam 23 Jan depan, dengan hari pengundian ditetapkan pada 24 Jan manakala 20 Jan ini sebagai undi awal.
-- BERNAMA
