AM

TEKNOLOGI ISOTOP STABIL BANTU SAHKAN KETULENAN PRODUK MAKANAN

10/01/2026 11:03 AM

Oleh Amanina Mohamad Yusof

PUTRAJAYA, 10 Jan (Bernama) -- Isu ketulenan dan asal usul produk makanan semakin mendapat perhatian berikutan peningkatan nilai ekonomi produk premium serta rantaian bekalan makanan yang kian kompleks, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai bentuk penipuan makanan di pasaran.

Dalam usaha menangani cabaran itu, teknologi isotop stabil merupakan antara kaedah saintifik paling berkesan untuk mengesahkan ketulenan serta kebolehkesanan asal usul geografi produk pertanian dan makanan.

Kaedah berkenaan bukan sahaja mampu melindungi pengguna dan pengeluar yang jujur, malah turut menjaga reputasi industri makanan negara.

Pegawai Penyelidik Bahagian Agroteknologi dan Biosains, Agensi Nuklear Malaysia Nur Hafizati Abdul Halim berkata teknologi itu juga berupaya mengesan makanan palsu yang sukar dikenal pasti melalui pemerhatian mata kasar atau deria rasa.

“Setiap kawasan geografi mempunyai identiti atau ‘cap jari’ isotop stabil tersendiri hasil perbezaan iklim, tanah dan sumber air. Cap jari produk ini akan dipadankan dengan pangkalan data rujukan bagi menentukan asal usulnya,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Menurut Nur Hafizati, melalui pendekatan itu, pelbagai bentuk penipuan seperti produk tiruan, pencampuran bahan lebih murah serta dakwaan palsu berkaitan status organik atau asal geografi dapat dikesan.

Beliau berkata unsur isotop secara semula jadi terdapat dalam setiap makanan dan berdasarkan jenis serta nilai isotop berkenaan, keaslian sesuatu produk dapat dipastikan.

Antara contoh ketara ialah pengesahan ketulenan madu, di mana analisis isotop karbon dapat membezakan madu asli yang dihasilkan daripada nektar tumbuhan C3 dengan madu yang dicampur gula tambahan seperti gula tebu daripada tumbuhan C4.

“Walaupun madu dihasilkan oleh lebah, terdapat situasi di mana lebah diberi gula tambahan ketika cuaca ekstrem melalui amalan sugar feeding. Oleh yang demikian, madu yang dihasilkan melalui kaedah ini tidak dikategorikan sebagai madu asli walaupun berasal daripada perut lebah,” katanya.

Selain madu, teknik isotop stabil turut digunakan bagi pengesahan ketulenan dan asal usul produk seperti sarang burung walit, kopi, daging, beras, mangga Harumanis dan biji koko.

Beliau berkata teknologi isotop juga mampu mengenal pasti makanan yang telah diubah suai (adulterated food) dan secara tidak langsung mengelakkan penipuan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Nur Hafizati menjelaskan setiap unsur isotop yang dianalisis mempunyai indikator tersendiri, antaranya isotop nitrogen yang boleh memberi gambaran mengenai penggunaan baja dan aktiviti pertanian, manakala isotop oksigen dan hidrogen pula berkait rapat dengan sumber air serta lokasi geografi.

Mengulas lanjut, beliau berkata proses pengesahan menggunakan teknologi isotop bermula dengan pengambilan sampel sama ada di lapangan atau melalui penghantaran oleh pemohon sebelum dianalisis di makmal menggunakan teknik Analisis Nisbah Isotop Stabil (Stable Isotope Ratio Analysis atau SIRA) menerusi peralatan utama Isotope Ratio Mass Spectrometry (IRMS).

IRMS berfungsi mengukur nisbah isotop stabil bagi unsur karbon, nitrogen, hidrogen, oksigen dan sulfur yang secara semula jadi terkandung dalam makanan.

“Proses ini bermula dengan pendaftaran dan pelabelan sampel, diikuti penimbangan dalam kapsul khas atau vial sebelum dianalisis menggunakan IRMS.

“Laporan analisis lazimnya dapat dikeluarkan dalam tempoh dua hingga tiga hari, termasuk proses penyediaan sampel,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan makmal hanya menjalankan analisis saintifik dan mengeluarkan laporan teknikal, manakala urusan pensijilan serta penggunaan bagi tujuan pemasaran perlu melalui agensi penguatkuasaan seperti Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketika ini, katanya KKM membenarkan penggunaan logo Autentik bagi empat produk iaitu madu, kopi, sarang burung walit dan daging, tertakluk kepada pematuhan garis panduan serta penilaian menyeluruh oleh kementerian berkenaan.

“Laporan analisis isotop stabil boleh digunakan sebagai bukti sokongan kepada KKM sebelum kebenaran diberikan untuk penggunaan logo Autentik pada produk yang dipasarkan. Logo ‘Autentik’ ini boleh dipaparkan pada produk bagi meningkatkan keyakinan pengguna kerana ketulenannya telah disahkan,” katanya.

Dalam konteks keselamatan makanan, teknologi isotop stabil turut melengkapi penggunaan teknologi nuklear lain seperti penyinaran makanan dan rawatan kuarantin yang diiktiraf oleh badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Beliau menegaskan teknik isotop stabil tidak melibatkan bahan radioaktif dan tidak mendedahkan makanan kepada radiasi, sebaliknya berfungsi sebagai kaedah analisis makmal untuk membaca komposisi semula jadi sesuatu makanan.

“Teknologi ini penting bukan sahaja untuk melindungi pengguna daripada penipuan, tetapi juga menyokong penguatkuasaan undang-undang, menjamin kualiti serta keselamatan makanan, selain melindungi pengeluar yang jujur.

“Dari sudut eksport, penggunaan teknologi isotop stabil dapat meningkatkan keyakinan negara pengimport dan pengguna antarabangsa kerana selari dengan keperluan kebolehkesanan serta standard keselamatan makanan global,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan