IPOH, 9 Jan (Bernama) -- Sebanyak 24 pasukan bakal berentap pada Kejuaraan Liga Bola Sepak Perak Sejahtera Inter Parlimen 2025/2026 bagi merebut Piala Menteri Besar Perak melibatkan hadiah keseluruhan berjumlah RM35,000.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata liga itu dijadualkan berlangsung dari 9 Jan hingga 15 Feb ini, selain empat zon iaitu Kerian, Pengkalan Hulu, Bagan Datuk dan Tanjung Malim menjadi lokasi pertandingan.
“Setiap zon itu melibatkan enam pasukan mewakili setiap Parlimen, iaitu empat pasukan terbaik pada peringkat berkenaan akan berentap dalam pusingan kalah mati sehingga ke peringkat akhir.
“Juara akan membawa pulang RM15,000 manakala tempat kedua RM10,000 serta tempat ketiga bersama RM5,000. Sebanyak 720 pemain berusia antara 18 hingga 40 tahun beraksi pada kejohanan yang dianjurkan bersama Pemuda UMNO Perak ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran Liga Bola Sepak Perak Sejahtera di Hotel Casuarina@Meru di sini semalam.
Terdahulu, majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad itu turut dihadiri kira-kira 500 tetamu jemputan.
Mohd Azhar berkata pihaknya berharap penganjuran liga berkenaan bakal memberi ruang dan peluang kepada bakat-bakat muda untuk menyerlah, sekali gus digilap bagi diserapkan ke dalam pasukan The Bos Gaurus di pelbagai peringkat.
“Kami jangkakan lebih separuh daripada pemain yang menyertai liga ini adalah dalam kalangan mereka yang berusia 18 hingga awal 20-an. Bakat-bakat baharu yang menyerlah nanti mungkin kami boleh serapkan ke pasukan Piala Presiden, Sukan Malaysia (SUKMA) atau A1,” katanya.
Sementara itu, Saarani dalam ucapannya menegaskan liga berkenaan antara platform penting bagi membangunkan bola sepak negeri Perak secara lebih tersusun dan berfokus bermula di peringkat akar umbi.
Beliau berkata kaedah itu dilihat praktikal kerana Perak tidak pernah ketandusan dalam melahirkan bakat-bakat yang menyinar serta mewarnai persada bola sepak tanah air suatu ketika dahulu.
“Nama-nama seperti Roafandi Yusoff dan Azizol Abu Haniffah yang menyerlah sejak era 80-an dan 90-an serta barisan pemain hebat seperti Shahrulnizam Mustapa, Syamsul Saad, Khalid Jamlus dan banyak lagi.
“Mereka ini adalah anak Perak yang pernah mengharumkan nama Perak dan Malaysia. Sejarah gemilang ini sepatutnya menguatkan keyakinan kita bahawa bakat bola sepak di Perak sentiasa ada, asalkan anak-anak muda diberi ruang dan laluan yang betul untuk berkembang,” katanya.
-- BERNAMA
