Oleh Muhammad Saufee Rosman
ISTANBUL, 8 Jan (Bernama) -- Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menzahirkan keprihatinan terhadap kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang dalam lawatan rasmi ke Turkiye berkata Erdogan bertanyakan perkembangan kesihatan Tun Mahathir dan beliau memberitahu apa yang telah disampaikan oleh doktor yang merawat perdana menteri keeempat dan ketujuh Malaysia itu .
Menurut Anwar, Erdogan turut menyampaikan salam serta doa agar Tun Mahathir dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan keselamatan.
“Sekiranya keadaan Tun Dr Mahathir mengizinkan, beliau (Erdogan) berhasrat untuk menghubungi sendiri bagi bertanyakan khabar dan mendoakan kesejahteraan Tun,” katanya dalam sidang media sebelum berlepas pulang ke tanah air.
Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi ke Turkiye selama tiga hari sejak Selasa lepas atas jemputan Erdogan.
Lawatan itu sebahagian usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Tun Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada Selasa selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya awal pagi tersebut dan disahkan mengalami patah tulang pinggul kanan.
Beliau dijangka berada di hospital itu untuk beberapa minggu bagi rawatan dan pemantauan.
-- BERNAMA
