AM

NELAYAN HILANG: HIDANGAN UDANG GORENG JADI KENANGAN TERAKHIR - IBU

06/01/2026 07:59 PM

BATU PAHAT, 6 Jan (Bernama) -- Hidangan udang goreng disediakan Allahyarham Mohd Saiful Azli Ahmad untuk makan tengah hari Jumaat lepas, menjadi kenangan terakhir buat keluarganya sebelum nelayan itu dilaporkan hilang pada hari sama dan ditemukan lemas hari ini.

Ibu Mohd Saiful Azli, Khatijah Rahindi, 74, berkata arwah anaknya gemar memasak udang dengan pelbagai jenis masakan dan pastinya selepas ini mereka sekeluarga merindui air tangan anak sulung daripada tiga beradik itu.

Warga emas itu berkata dia tidak menyangka hari berkenaan menjadi pertemuan terakhir mereka sebelum Mohd Saiful Azli, 45, keluar untuk memeriksa bubu udang yang dipasang di sekitar perairan Sungai Dulang, Rengit.

“Arwah seorang yang periang dan penyayang terhadap anak saudaranya. Pada hari itu (Jumaat), dia kelihatan agak senyap, tetapi kami sekeluarga tidak menyangka apa-apa sehingga kami menyedari dia tidak pulang seperti kebiasaannya.

“Setelah itu, pelbagai usaha kami lakukan termasuk membaca surah Yasin dan solat hajat berjemaah hingga tengah malam dan akhirnya kami bersyukur jasad anak saya ditemukan,” katanya yang ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail di sini hari ini.

Adik mangsa, Nur Syaza Lina, 40, berkata hanya “Allahuakbar” terlafaz daripada mulutnya sebaik jasad abangnya dijumpai di Sungai Sarang Burung pada 9.16 pagi tadi, kira-kira dua kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.

“Saya bersyukur abang ditemukan (mayat) kerana pelbagai cabaran dilalui sepanjang pencarian sejak Sabtu lepas. Saya pernah terfikir abang hanyut ke tempat lain sekali gus sukar untuk dijumpai,” katanya.

Nur Syaza Lina berkata jenazah Mohd Saiful Azli dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tongkang, bersebelahan dengan kubur arwah nenek mereka selewat-lewatnya malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata usaha mencari seorang lagi nelayan yang hilang iaitu Mohd Fadzli Misran, 41, giat dijalankan oleh pelbagai agensi penyelamat.

Mohd Saiful Azli dan Mohd Fadzli, dilaporkan hilang selepas kedua-duanya keluar memeriksa bubu udang dan memancing kira-kira 800 meter dari Jeti Sungai Tongkang, Jumaat lepas.

Kehilangan mereka disedari ahli keluarga selepas kedua-duanya tidak pulang ke rumah sebelum menemukan kenderaan milik mangsa di jeti berkenaan dan membuat laporan polis.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan