AM

RAMALAN AWAL BANJIR DI 10 JAJAHAN KELANTAN MULAI ISNIN INI

04/01/2026 12:08 AM

KOTA BHARU, 3 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) hari ini mengeluarkan Ramalan Awal Banjir bagi negeri Kelantan berikutan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS memaklumkan, banjir dijangka berlaku antara 5 hingga 8 Januari ini di 10 jajahan, melibatkan beberapa lembangan sungai utama di negeri berkenaan.

Jajahan terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Machang, Kota Bharu, Pasir Puteh, Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang, melibatkan antaranya Lembangan Sungai Kelantan, Sungai Golok, Sungai Semerak, Sungai Kemasin, Sungai Lebir, Sungai Galas dan Sungai Nenggiri.

"JPS akan melaksanakan pemantauan berterusan akanhebahan amaran banjir akan dikemas kini sekiranya hujan signifikan berterusan di lembangan sungai terlibat. Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh yang dijangkakan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, semua agensi pengurusan bencana serta penduduk, khususnya di kawasan berisiko diminta berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Orang ramai juga disarankan mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui portal publicinfobanjir.water.gov.my atau laman Facebook PublicInfoBanjir.  

Hari ini, MetMalaysia mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) susulan jangkaan hujan berpanjangan di beberapa negeri bermula minggu hadapan.

MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, hujan berterusan dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula 5 hingga 8 Jan ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan