AM

BERNAS SALUR BANTUAN PASCABANJIR KEPADA LEBIH 6,000 PENERIMA DI PERLIS, KELANTAN

02/01/2026 07:21 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Padiberas Nasional Bhd (Bernas) menyalurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk persediaan persekolahan, kotak makanan serta sokongan baik pulih infrastruktur komuniti kepada lebih 6,000 penerima di Perlis dan Kelantan yang terkesan akibat banjir.

Bernas dalam kenyataan hari ini memaklumkan bantuan disalurkan menerusi "Program Ikhlas Bernas Pasca Banjir" kepada komuniti pesawah, golongan asnaf dan keluarga B40 di Simpang Empat, Perlis serta Cherang Ruku, Kelantan sebagai usaha meringankan beban mangsa dalam fasa pemulihan.

“Sebagai rakan strategik kerajaan dalam industri padi dan beras negara, Bernas kekal komited memastikan kebajikan komuniti pesawah terus terpelihara, khususnya ketika berdepan cabaran akibat bencana alam yang menjejaskan sumber pendapatan dan kelangsungan hidup mereka,” menurut kenyataan itu.

Pengurus Kanan Unit Bekalan Skim Wilayah Utara Bernas Haslizan Hashim dalam kenyataan sama berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam membantu komuniti terjejas membuat persediaan menghadapi kehidupan selepas banjir, khususnya menjelang sesi persekolahan baharu.

“Inisiatif pascabanjir ini mencerminkan komitmen berterusan Bernas dalam membantu meringankan beban komuniti pesawah yang terkesan. Bantuan ini diharap dapat meringankan tekanan kewangan mangsa banjir, terutamanya keluarga yang sedang berusaha membina semula kehidupan pascabencana,” katanya.

Beliau berkata tumpuan turut diberikan kepada keluarga yang mempunyai anak yang bakal memulakan sesi persekolahan baharu agar mereka dapat memulakan tahun dengan lebih bersedia dan tenang.

Menurut Bernas, selain bantuan keperluan asas, syarikat itu turut menyumbang RM20,000 bagi kerja baik pulih infrastruktur komuniti di Kelantan, termasuk pembaikan Masjid At-Taqwa di Cherang Ruku, Pasir Puteh, dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim).

“Usaha ini bertujuan memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah, selain memulihkan peranan masjid sebagai pusat komuniti setempat pascabencana,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Bernas memaklumkan sebagai sebahagian sokongan jangka panjang kepada sektor padi dan beras negara, syarikat berkenaan turut menyumbang kepada Tabung Bencana Tanaman Padi dengan peruntukan RM10 juta setahun bagi membantu pesawah yang terkesan akibat bencana banjir dan faktor luar jangka.

Menurut kenyataan itu lagi, selaras peranannya dalam menjamin keterjaminan bekalan beras negara, Bernas akan terus mengimbangi keperluan komersial dengan tanggungjawab sosial, dengan meletakkan kebajikan komuniti pesawah sebagai keutamaan bukan hanya ketika bencana tetapi sebagai komitmen berterusan demi kelangsungan industri padi dan beras negara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan