AM

PROGRAM CERIA KE SEKOLAH TNB BANTU PELAJAR PANGSAPURI SERI PERANTAU BUAT PERSIAPAN

02/01/2026 09:11 PM

PELABUHAN KLANG, 2 Jan (Bernama) -- Sebanyak 100 pelajar golongan B40 dan asnaf di Blok C Pangsapuri Seri Perantau, di sini teruja menerima sumbangan persekolahan menerusi program Ceria ke Sekolah (CKS) 2026 anjuran Tenaga Nasional Bhd (TNB). 

Ketua Pegawai Regulatory & Stakeholder Management TNB Datuk Shamsul Ahmad berkata inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan peruntukan berjumlah RM10,000 itu bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa sebagai persiapan sesi persekolahan yang akan bermula kira-kira dua minggu lagi. 

“Program ini bukan sekadar penyampaian sumbangan sebaliknya manifestasi komitmen kami (TNB) terhadap pembangunan sosial, pendidikan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya melibatkan golongan kurang berkemampuan.

“Kami percaya pendidikan merupakan pelaburan sosial paling bernilai kerana apabila anak-anak memulakan sesi persekolahan dengan keperluan lengkap, keyakinan diri dan motivasi mereka untuk belajar akan meningkat,” katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan sumbangan di pangsapuri itu pada Khamis.

Hadir sama Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah.

Shamsul berkata TNB sebagai syarikat utiliti nasional tidak terbatas kepada pembekalan tenaga elektrik yang stabil sahaja, tetapi turut cakna membangunkan negara melalui sumbangan berterusan terhadap mutu pendidikan dan pembangunan modal insan.

Pada masa sama, beliau berkata CKS yang dilaksanakan sejak 2013 telah memberi manfaat kepada lebih 86,000 keluarga di seluruh negara dengan peruntukan melebihi RM13.7 juta dan bagi sesi 2026, program itu menyasarkan lebih 10,000 pelajar B40.

“TNB amat berbesar hati dapat menyantuni penduduk Blok C Pangsapuri Seri Perantau yang terkesan susulan insiden kebakaran bilik papan agihan elektrik (DB) sejak awal Disember lepas,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada penerima bantuan Nurul Fatin Anuwar, 31, menghargai usaha TNB yang secara tidak langsung meringankan beban ibu bapa di blok berkenaan yang kini masih bergelut dengan pelbagai masalah disebabkan kebakaran tersebut.

“Sejak tragedi kebakaran itu, saya terpaksa menumpang di rumah mentua di Banting. Saya bekerja di Klang dan perlu menghantar anak ke rumah pengasuh di kawasan ini. Jadi kos ulang-alik setiap hari sudah tentu memberi kesan terhadap kedudukan kewangan keluarga kami.

“Bantuan kepada dua orang anak saya (tahun satu dan dua) sebenarnya bukan hanya meringankan beban saya dan suami, malah ramai lagi ibu bapa boleh menarik nafas lega, terutamanya kerana dapat membeli pakaian baharu sebagai persiapan anak memasuki sekolah tidak lama lagi,” katanya.

Pandangan sama dikongsikan suri rumah Samsiah Mohamad, 49, yang bersyukur dengan bantuan kepada anaknya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, yang akan digunakan untuk membeli keperluan sekolah seperti buku rujukan.

“Saya dan suami tidak bekerja, bantuan seperti ini amat diperlukan oleh kami. Soal jumlah tidak perlu dipersoalkan kerana setidak-tidaknya meringankan beban kami yang tidak mempunyai pendapatan dan hanya bergantung kepada dua anak yang sudah bekerja,” katanya.

Pada 7 Dis, bilik DB di Blok C, Pangsapuri Seri Perantau dilaporkan terbakar berikutan kelemahan penyelenggaraan yang menyebabkan sistem pendawaian bangunan itu musnah sehingga menjejaskan kira-kira 600 penduduk melibatkan 128 unit kediaman.

Susulan itu, sebagai langkah awal, TNB menyediakan bekalan elektrik sementara ke sebahagian pangsapuri sejak 17 Dis sementara kerja pembaikan menyeluruh dilaksanakan pihak pengurusan bangunan.

Setakat 1 Jan, bekalan elektrik ke 50 unit kediaman sudah dipulihkan, manakala baki 78 unit masih dalam proses pemulihan.

Shamsul berkata TNB bersedia untuk menyalurkan bekalan elektrik ke unit terlibat sebaik sahaja kerja pembaikan oleh kontraktor lantikan pengurusan bangunan selesai dijalankan dan penyambungan bekalan disahkan selamat.

Selain sumbangan CKS, TNB menerusi inisiatif CSR turut menyalurkan peruntukan untuk pembaikan sistem pendawaian elektrik bagi pengoperasian lif di Blok C bangunan itu.

Dalam majlis yang sama, TNB turut menyediakan pemeriksaan kesihatan dan konsultasi khusus bagi penduduk Pangsapuri Seri Perantau serta menyumbang dua unit mesin nebuliser dan alatan perubatan sampingan kepada warga emas.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan