KOTA TINGGI, 2 Jan (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk rasuah atau penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya memandang serius setiap aduan berkaitan rasuah dan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan mengikut saluran serta lunas undang-undang.
"Semestinya kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang unsur rasuah atau penyalahgunaan kuasa khususnya dalam MINDEF.
"Setiap aduan akan diambil serius namun tuduhan tanpa bukti hanya akan menjejaskan kredibiliti dan nama baik ATM,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Majlis Ramah Mesra Komuniti Kampung Makan di sini hari ini.
Beliau berkata justeru itu, tindakan tegas wajar diambil bagi membersihkan nama baik ATM dan mengelakkan dakwaan tidak berasas dijadikan modal untuk meraih populariti.
Sebelum ini, aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard mendakwa seorang pegawai kanan ATM disyaki terbabit dalam isu pengubahan wang haram dan susulan itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Mengulas perkembangan terkini, Mohamed Khaled berkata pegawai kanan berkenaan telah diarahkan bercuti bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Pegawai tersebut diminta bercuti dan tidak mempunyai sebarang peranan atau kuasa... siasatan adalah urusan SPRM dan setakat ini, kementerian belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenainya,” kata beliau.
Ditanya mengenai keperluan pegawai ATM membuat pengisytiharan harta, Mohamed Khaled berkata MINDEF sentiasa mendapatkan maklumat dan pandangan agensi berkaitan sebelum sebarang pelantikan dibuat.
“Kita sentiasa merujuk agensi dan jabatan berkaitan termasuk SPRM bagi memastikan setiap pelantikan dibuat dengan teliti serta berintegriti,” katanya.
-- BERNAMA
