EKONOMI

PMI PEMBUATAN MALAYSIA BAGI DISEMBER KEKAL PADA 50.1, BUKTI PENGUKUHAN KECIL - S&P GLOBAL

02/01/2026 12:37 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global 2025 bagi Disember 2025 yang diselaraskan secara bermusim, kekal tidak berubah pada 50.1 berbanding bulan sebelumnya.

S&P Global menyifatkan angka terkini itu sebagai satu lagi pengukuhan kecil dalam keadaan operasi yang merentasi sektor pembuatan Malaysia.

Menurutnya, berdasarkan kaitan antara angka PMI dan data rasmi, bacaan terkini itu juga konsisten dengan pengembangan tahun ke tahun yang terus kukuh bagi keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan pengeluaran pembuatan pada akhir tahun 2025.

“Peningkatan keadaan sektor pembuatan itu disokong oleh pertambahan kukuh dalam pertambahan bilangan tenaga kerja yang kukuh. Jumlah penggajian juga meningkat bagi bulan kedua berturut-turut pada Disember,” katanya.

S&P Global menyatakan, peningkatan terkini itu juga merupakan yang ketiga terpantas sejak usaha pengumpulan data bermula pada Julai 2012, selain paling ketara dalam tempoh lebih tujuh tahun.

Ahli Ekonomi S&P Global Market Intelligence Maryam Baluch menerusi nota penyelidikannya berkata secara keseluruhannya, PMI sektor pembuatan Malaysia kekal dalam wilayah positif menjelang penghujung 2025.

“Sorotan utama hasil tinjauan terkini adalah aspek pekerjaan yang meningkat pada salah satu tahap terpantas pernah dicatatkan selain terdapat juga tanda-tanda menggalakkan dari segi penstabilan pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata mengikut maklum balas responden, syarikat-syarikat juga bertindak mengambil pekerja tambahan menjelang projek baharu dan untuk menggantikan pekerja yang berhenti manakala pengeluaran mencatatkan penyederhanaan yang lebih perlahan pada bulan penutup 2025 yang hampir mencapai kestabilan.

Pada masa sama, terdapat tanda-tanda penyederhanaan dari segi aliran masuk pesanan baharu pada bulan sama, susulan pertumbuhan yang lebih sederhana dalam bulan sebelumnya.

“Kesuraman keadaan permintaan juga boleh dilihat dari segi tekanan harga lebih rendah dengan aliran inflasi kekal sederhana, sebahagiannya didorong oleh pertumbuhan aktiviti pembelian bahan mentah yang terhenti.

“Selain itu, terdapat beberapa syarikat mengambil inisiatif menawarkan diskaun kepada pelanggan bagi merangsang jualan,” katanya.

Dalam pada itu, S&P Global  berkata aliran kesuraman permintaan dilaporkan penyebab pengurangan perniagaan baharu.

Ini ditambah pula dengan pesanan eksport baharu yang lebih menyederhana bagi bulan keempat berturut-turut pada Disember 2025 dan tahap itu lebih ringan namun lebih ketara berbanding tempoh tinjauan sebelumnya.

“Perkembangan yang memaparkan kelembapan pesanan baharu bagi kilang-kilang, data Disember itu menunjukkan aktiviti pembelian dalam kalangan pengeluar barangan menjadi tepu.

“Indeks yang diselaraskan mengikut musim itu juga selari dengan nilai ambang neutral 50.0. Ini juga menjadi bulan pertama sejak Jun tahun lepas yang mana pengeluar barangan tidak menambah pembelian input mereka,”  katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan