DUNIA

KEPENGERUSIAN ASEAN: FILIPINA AKAN TERUSKAN MOMENTUM PENGERUSI TERDAHULU

01/01/2026 06:40 PM

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Filipina dijangka meneruskan momentum yang dibina oleh pengerusi ASEAN terdahulu dengan memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama blok serantau itu iaitu keamanan dan keselamatan, kemakmuran serta pemerkasaan rakyat, selain memperkukuh agenda sosiobudaya apabila negara itu memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2026.

Jangkaan itu dibuat ketika Filipina secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada Khamis, dengan beberapa penganalisis menekankan kepentingan kesinambungan, perpaduan dan penglibatan luaran yang berkesan dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global yang semakin meningkat.

Bercakap kepada Bernama, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn berkata tema yang dipilih Filipina selaku Pengerusi ASEAN 2026 iaitu “Navigating Our Future Together”, mencerminkan keperluan berterusan rantau ini terhadap perpaduan serta penglibatan luaran yang berkesan.

Beliau berkata Manila dijangka akan meneruskan momentum yang dibina oleh pengerusi terdahulu, dengan memberi tumpuan berterusan keppada tiga tonggak utama Komuniti ASEAN.

“Saya menjangkakan Manila akan meneruskan momentum yang telah dibina oleh pengerusi terdahulu, dengan memberi tumpuan kepada kemajuan dan bukannya penciptaan semula serta komitmen kukuh terhadap tiga tonggak Komuniti ASEAN dan Kesalinghubungan ASEAN,” katanya.

Kao berkata Filipina juga berada pada kedudukan yang baik untuk memajukan usaha ASEAN dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital, bagi memastikan blok itu kekal kompetitif dan inklusif dalam dunia yang semakin dipacu teknologi.

“Usaha-usaha ini termasuk merapatkan jurang digital, menambah baik kerjasama keselamatan siber, menyokong pembangunan ekonomi digital ASEAN serta memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA),” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Siti Darwinda Mohamed Pero berkata Filipina dijangka memberi penekanan lebih besar kepada agenda sosiobudaya ASEAN, memandangkan kekuatan tradisinya dalam inisiatif berpaksikan rakyat.

Beliau berkata ulang tahun ke-50 Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) pada 2026 turut memberi peluang kepada Manila untuk mengetengahkan tema persahabatan, identiti bersama dan solidariti serantau.

“Kekuatan ini menjadikan tonggak sosiobudaya sebagai ruang semula jadi untuk Filipina memimpin dengan yakin, sambil terus menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan agenda ASEAN yang lebih luas,” katanya.

Sementara itu, pakar geostrategi dan Felo Majlis Profesor Negara, Prof Dr Azmi Hassan berkata jangkaan turut tertumpu kepada bagaimana Filipina, selaku Pengerusi ASEAN, akan mengendalikan isu serantau yang sensitif, khususnya Laut China Selatan.

Beliau berkata Manila mengekalkan “hubungan rapat dengan Amerika Syarikat” dan menyatakan bahawa "bagaimana perkara ini akan diimbangi di peringkat ASEAN ... masih perlu diperhatikan," sambil menambah bahawa "adalah menarik untuk melihat bagaimana perkara ini berkembang sepanjang 12 bulan akan datang."

Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr, ketika berucap pada majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada 28 Okt, berikrar untuk memperkasa kesatuan, keamanan dan kemakmuran serantau di bawah tema “Navigating Our Future Together” sebagai kompas dalam membimbing ASEAN ke arah masa depan yang aman dan makmur dengan rakyat kekal menjadi teras dalam setiap tindakan.

Sekretariat ASEAN, menerusi hantaran di Facebook, berkata tahun ini menandakan satu peristiwa penting apabila Filipina memegang jawatan Pengerusi ASEAN dengan memikul tanggungjawab itu dengan kejelasan, keazaman dan visi.

“Ketika kita menyambut Tahun Baharu, ASEAN melangkah ke tahun 2026 dengan harapan baharu, tujuan bersama serta tekad kolektif.

“Semoga tahun hadapan membawa keamanan, kemakmuran dan kerjasama yang diperkukuh ketika kita terus membina ASEAN yang berdaya tahan, inklusif dan mampan untuk semua,” menurut Sekretariat ASEAN.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan