AM

PERAK CATAT LEBIHAN PENDAPATAN RM85 JUTA, CERMINKAN PEMULIHAN EKONOMI NEGERI - SAARANI

01/01/2026 10:20 AM

IPOH, 1 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak menutup tirai 2025 dengan prestasi kewangan yang memberangsangkan apabila sekali lagi merekodkan lebihan pendapatan berjumlah RM85 juta, sekali gus mencerminkan pemulihan ekonomi negeri yang semakin stabil dan berdaya tahan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pencapaian itu hasil tadbir urus kewangan yang berhemat, pengurusan perbelanjaan tersusun serta kestabilan politik berterusan di negeri berkenaan.

Beliau berkata kejayaan itu turut membuktikan keupayaan kerajaan negeri memulihkan kedudukan kewangan Perak selepas pernah berdepan situasi mencabar apabila mencatatkan defisit selama tiga tahun berturut-turut.

Bagaimanapun, Saarani berkata dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, kerajaan negeri berjaya bangkit, mengubah landskap ekonomi dan kini bergerak dengan lebih yakin dalam memperkukuh asas pembangunan negeri.

“Alhamdulillah, hari ini Perak bukan sahaja kembali stabil, malah berada di landasan yang tepat untuk terus berkembang secara mampan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 Peringkat Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya di sini malam tadi.

Saarani berkata pertumbuhan ekonomi negeri turut dipacu oleh pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi antaranya Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Perak Halal Industrial Park (HIP), Silver Valley Technology Park (SVTP) serta Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).

Beliau berkata kesungguhan kerajaan negeri itu turut mendapat pengiktirafan Kerajaan Persekutuan apabila sebahagian besar projek berkenaan disenaraikan dalam Belanjawan 2026 serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Namun, kejayaan ini bukan milik pentadbiran kerajaan semata-mata, sebaliknya hasil usaha bersama seluruh rakyat Perak. Dari Ipoh ke Parit, dari Tanjong Malim ke Lumut, dari Tapah ke Kerian, dari Lenggong hingga ke Gerik, setiap inci bumi Perak menyumbang kepada kejayaan ini,” katanya.

Beliau berkata sumbangan itu merangkumi penjawat awam yang bekerja tanpa mengira waktu, usahawan kecil yang cekal menempuh cabaran, anak muda yang gigih membina masa depan serta masyarakat di bandar dan desa yang bersama-sama memacu kemajuan negeri.

Dalam pada itu, Saarani turut menyeru seluruh rakyat Perak agar terus bersatu padu dan memanfaatkan sepenuhnya penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) bagi memperkukuh sektor pelancongan negeri.

“VM2026 adalah peluang besar untuk Perak. Rakyat perlu bersama-sama menjayakannya demi memastikan negeri ini terus menjadi destinasi pelancongan pilihan, sekali gus menjamin kemakmuran berterusan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan