Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari terakhir 2025 diasak oleh aktiviti pengambilan untung, namun kekal melakar prestasi sebagai antara mata wang berprestasi terbaik rantau ini bagi 2025.
Prestasi ringgit pada hari ini juga susulan daripada pengumuman minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) pada Disember yang menunjukkan pendirian cenderung menaikkan kadar faedah.
Pada 6 petang, ringgit susut kepada ke paras 4.0580/0620 berbanding dolar AS daripada 4.0460/0505, semalam ketika kalangan penganalisis menjangkakan unit tempatan itu akan terus mengukuh pada 2026, didorong oleh ekonomi domestik yang mantap.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit susut berbanding dolar AS selepas tindakan FOMC mengeluarkan minit mesyuarat yang menunjukkan Rizab Persekutuan (Fed) kekal berhati-hati mengenai risiko inflasi dalam tempoh memasuki 2026.
“Bagaimanapun, ringgit jelas memaparkan prestasi cemerlang tahun ini, berakhir meningkat secara menyeluruh dan dilihat ramai sebagai antara mata wang berprestasi terbaik Asia bagi 2025,” katanya kepada Bernama.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata ringgit telah mengukuh melebihi sembilan peratus berbanding dolar AS sepanjang tahun ini yang membuktikan pengukuhan ketara dalam asas makroekonomi dan kewangan Malaysia.
Sehubungan itu, beliau menganggap penyusutan ringgit hari ini bukan satu petanda bermulanya kitaran penyusutan semula, sebaliknya memaparkan pelarasan jangka pendek terhadap dinamik dolar global.
“Dari sudut makro, Malaysia telah memasuki fasa normalisasi struktur dengan pergerakan mata wang semakin dipacu oleh asas ekonomi serta kredibiliti dasar dan bukannya aliran spekulatif,” katanya.
Pada akhir urus niaga hari ini, ringgit ditutup mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 2.5907/5934 daripada 2.5948/5978, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4531/4585 daripada 5.4678/4738 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7617/7664 daripada 4.7621/7674.
Namun, unit tempatan itu susut nilai berbanding mata wang rakan serantau ASEAN.
Ini termasuk rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1550/1584 daripada 3.1526/1566, turun berbanding baht Thailand kepada 12.8560/8756 daripada 12.8404/8620, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 243.2/243.6 daripada 241.2/241.6 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 6.88/6.90 daripada 6.87/6.88.
Pasaran pertukaran asing ditutup esok bersempena cuti umum Tahun Baharu.
-- BERNAMA
