KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Kepelbagaian, kedinamikan, kegembiraan, persahabatan dan rojak. Itu antara ungkapan yang digunakan Duta Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung-bae bagi memperingati tahun ketiga dan juga terakhir beliau di negara ini.
Dalam satu artikel yang dikongsi oleh Kedutaan Korea Selatan, Yeo menyifatkan Malaysia sebagai “sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian dalam setiap aspek” - satu pengalaman yang amat bermakna bagi seseorang yang berasal daripada masyarakat yang secara relatifnya homogen seperti Korea.
“Warisan budaya yang dibawa oleh setiap komuniti merupakan khazanah negara yang bernilai, dan kepelbagaian tradisi inilah yang menjadi pemangkin kepada potensi Malaysia untuk membangunkan kandungan budaya yang dinamik serta memperkukuh kuasa lembutnya di persada global,” tulis beliau.
Beliau menarik perhatian kepelbagaian Malaysia terserlah dengan jelas menerusi makanan, perayaan, tarian dan muzik.
Yeo menyatakan bahawa walaupun sesetengah masyarakat majmuk memilih pendekatan "wadah tumpuan", Malaysia sebaliknya memilih model kewujudan bersama yang menghormati perbezaan serta meraikan keharmonian - menjadikannya sebuah “masyarakat majmuk” yang sebenar.
“Kepelbagaian dan keterangkuman di Malaysia telah lama diraikan,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa kesediaan rakyat Malaysia untuk mengakui dan menghargai perbezaan antara satu sama lain mencerminkan pandangan jauh pemimpin terdahulu negara ini.
Yeo berkata sejak tiba di Malaysia pada Oktober 2022 bersama isterinya, mereka telah mengunjungi banyak negeri, menikmati pelbagai hidangan tempatan serta didedahkan kepada kepelbagaian budaya negara ini.
Menurut duta itu, mereka turut berpeluang melibatkan diri dengan masyarakat setempat dan berasa berbesar hati kerana berpeluang bertukar pandangan dengan individu daripada pelbagai latar belakang.
“Tempoh tiga tahun lalu merupakan satu perjalanan yang mempererat persahabatan serta menghayati intipati sebenar Malaysia, Truly Asia,” katanya.
Secara peribadi, Yeo turut berkongsi bahawa beliau amat menggemari rojak.
“Ya, ia dari Malaysia. Gabungan uniknya - mangga, nanas, timun dan bahan-bahan lain yang digaul dengan belacan menghasilkan keharmonian rasa yang tersendiri,” katanya.
“Menyegarkan, sedikit pedas dan menyihatkan, ia sangat menepati cita rasa saya. Saya sering mengesyorkannya kepada pelawat dari Korea, yang selalunya memberikan maklum balas yang memberangsangkan," tulis beliau.
Menurut Yeo, dalam banyak aspek, rojak mencerminkan Malaysia itu sendiri - sebuah negara dengan kepelbagaian budaya bersatu membentuk sesuatu yang lebih bermakna daripada sekadar gabungan elemen yang berbeza.
-- BERNAMA
