KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Kenaikan gaji hakim sebanyak 30 peratus yang berkuat kuasa esok, mendapat sokongan meluas komuniti perundangan, menyifatkan ia sebagai langkah penting untuk memperkukuh kebebasan dan menarik lebih ramai mereka yang berbakat untuk menyertai badan kehakiman.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus menyifatkan kenaikan itu sebagai tepat pada masanya dan wajar, dengan mengambil kira hakikat bahawa semakan terhadap gaji hakim kali terakhir dibuat pada Julai 2015.
“Untuk membolehkan mereka melaksanakan peranan dengan cemerlang dan bermaruah, pemberian imbuhan yang setimpal adalah wajar supaya terhindar daripada kebimbangan kewangan ketika menjalankan tugas.
“Ganjaran yang bersesuaian kepada hakim juga penting bagi menarik peguam terbaik yang berintegriti untuk menyertai badan kehakiman, sama ada daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, atau Badan Peguam,” katanya.
Turut berkongsi pendapat yang sama ialah Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab, yang menyifatkan kenaikan berkenaan akan membantu menarik dan mengekalkan calon berkualiti dalam badan kehakiman serta mengukuhkan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran dalam hal berkaitan keadilan.
“Walaupun pelarasan itu satu langkah positif, Badan Peguam menegaskan bahawa penetapan gaji hakim seharusnya ditentukan melalui mekanisme yang telus, objektif dan bebas.
“Oleh itu, kami menggesa supaya sebuah ‘Judges Remuneration Commission’ yang bebas ditubuhkan bagi memastikan semakan imbuhan dibuat secara berkala dan berprinsip, tanpa sebarang pengaruh eksekutif selaras dengan nilai perlembagaan dan amalan terbaik antarabangsa,” katanya.
Semua hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan bakal menikmati kenaikan gaji bulanan sebanyak 30 peratus mulai esok.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2026 mengumumkan gaji hakim akan dinaikkan hingga 30 peratus mulai 1 Januari 2026.
Sementara itu, peguam Razman Sahat menyifatkan kenaikan gaji berkenaan sekali gus dapat meningkatkan kualiti dan integriti badan kehakiman memandangkan beban tugasan berat yang perlu digalas oleh hakim.
"Hakim-hakim di Malaysia bukan sahaja seseorang yang arif dalam undang-undang Malaysia, malah mempunyai pengalaman yang banyak berhubung dengan selok belok undang-undang, tatacara di mahkamah. Kenaikan ini adalah setimpal dengan beban kerja yang ditanggung mereka," katanya.
Beliau berkata dengan kenaikan itu juga dapat mengurangkan risiko rasuah dan konflik kepentingan memandangkan kenaikan gaji hakim sepatutnya setimpal untuk mengelakkan sebarang pengaruh luar berkenaan dengan kewangan.
Razman berkata pelarasan gaji itu perlu dikaji semula oleh kerajaan dari semasa ke semasa mengikut peredaran zaman memandangkan kos sara hidup dan perbelanjaan semakin meningkat.
Senada dengan Razman, pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata ia satu langkah positif kerajaan yang memperlihatkan peranan dan tugas hakim bukan suatu perkara mudah.
"Hakim-hakim ini mempunyai kedudukan tinggi, mereka bukan seperti orang biasa kerana ada perkara boleh dilakukan dan ada yang tidak boleh. Jadi, dengan adanya kenaikan gaji ia dapat membantu dari segi kos sara hidup dan perbelanjaan dengan keadaan ekonomi masa kini," katanya.
Sementara itu, peguam Nur A'minahtul Mardiah Md Nor mengakui bahawa kos sara hidup yang semakin meningkat menjadikan kenaikan gaji satu langkah munasabah, malah berpotensi menarik individu berkualiti tinggi untuk menyertai bidang kehakiman dan menggalakkan mereka kekal dalam perkhidmatan.
Nur A'minahtul yang juga bekas majistret berkata tidak boleh disangkal bahawa kerjaya sebagai hakim, walau pada peringkat majistret sekali pun memikul tanggungjawab besar kerana ia melambangkan integriti dan wibawa negara.
-- BERNAMA
