SHAH ALAM, 31 Dis (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah kapal tangki minyak yang didapati bersauh tanpa kebenaran di sekitar perairan Pelabuhan Klang dekat sini semalam.
Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata kapal terbabit ditahan kira-kira 3 petang pada kedudukan 0.9 batu nautika barat Pelabuhan Klang susulan aduan diterima daripada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan seorang nakhoda bersama empat kru, kesemuanya warga Indonesia berusia antara 21 hingga 59 tahun. Walaupun kesemua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh,” katanya.
Beliau menjelaskan kapal berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM).
Perintah penahanan telah dikeluarkan dan nakhoda dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor bagi membantu siasatan lanjut.
Abdul Muhaimin menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang maritim. Beliau turut mengingatkan pengusaha dan pemilik kapal untuk mendapatkan kebenaran bersauh daripada JLM serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Maritim Malaysia sentiasa memandang serius pematuhan undang-undang dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan kesejahteraan serta keselamatan perairan negara, khususnya di Selangor.
"Orang ramai dan komuniti maritim boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor,” katanya.
-- BERNAMA
