JENAYAH & MAHKAMAH

DUA LELAKI DITAHAN BANTU SIASATAN KES BUNUH DI SG BAKAP

31/12/2025 12:03 PM

NIBONG TEBAL, 31 Dis (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan objek tajam di sebuah restoran di Sungai Bakap di sini petang semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata kedua-dua lelaki ditahan beberapa jam selepas insiden itu.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan beberapa lagi suspek yang terlibat dalam kejadian itu, dan polis juga menyiasat motif sebenar insiden serangan tersebut.

"Kedua-dua lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Justeru itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menyalurkannya kepada pihak polis atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Insiden pada 4.30 petang itu menyaksikan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang menyerang mangsa selepas dikatakan tidak berpuas hati mengenai masalah hutang, dan selelaki berusia 59 tahun yang cedera parah akibat tetakan di bahagian kepala disahkan meninggal dunia manakala dua lagi, yang juga cedera parah, dihantar  ke Hospital Sungai Bakap.

Beberapa video telah tular di media sosial memaparkan mangsa yang cedera akibat serangan itu termasuk seorang dalam keadaan kritikal.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan