AM

BUKIT BINTANG STAR-LIT STREET FESTIVAL SEMARAKKAN TMM2026

30/12/2025 08:22 PM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Bukit Bintang bakal dimeriahkan dengan penganjuran Bukit Bintang Star-Lit Street Festival sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang akan ‘menyajikan’ kebudayaan dan kreativiti sekali gus merancakkan lagi pelancongan waktu malam.

Festival dua hari itu, diadakan di luar Plaza Low Yat dari 12 tengah hari hingga 12 tengah malam pada 3 dan 4 Jan ini, mengalu-alukan pengunjung tempatan dan antarabangsa untuk ‘merasai’ sendiri kesenian dan tenaga dinamik Malaysia.

Sebagai acara utama di bawah TMM2026, festival berkenaan akan menampilkan persembahan muzik, pertunjukan kebudayaan, seni kreatif, makanan jalanan dan pengalaman mempesona di satu daripada hab pelancongan tersibuk Asia Tenggara.

Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy berkata festival itu memberi pelancong peluang untuk menyertai program kebudayaan dan kreatif berbanding hanya menonton.

“Bukit Bintang ialah satu daripada destinasi paling popular negara bagi pelancong antarabangsa dan domestik. Pengunjung sering bertanya apa lagi yang boleh dilakukan di Kuala Lumpur selain melawat menara berkembar dan tempat menarik lain.

“Mereka mahu mengalaminya sendiri dan Bukit Bintang Street Festival menawarkan peluang untuk mempersembahkan budaya, kreativiti dan kepelbagaian negara,” katanya pada sidang media mengenai festival itu di sini hari ini.

Acara tersebut dianjurkan oleh Sage Legacy Sdn Bhd dan dikendalikan oleh E-Plus Entertainment Productions (M) Sdn Bhd bersama redONE Mobile sebagai rakan kongsi.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Zon Bukit Bintang, Persatuan Pelancongan Pusat Bandar Kuala Lumpur Bukit Bintang, KL Society, Karyawan, Corporate Information Travel (CIT), Orando Holdings, and Plaza Low Yat turut terlibat sebagai rakan kerjasama.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan