AM

P. PINANG TERUSKAN PEMBIAYAAN PAS MUTIARA, PERUNTUK RM7 JUTA

30/12/2025 06:34 PM

GEORGE TOWN, 30 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang meneruskan pembiayaan Pas Mutiara sebanyak 280,000 pas pada tahun hadapan dengan jumlah peruntukan RM7 juta selepas inisiatif Program Pas Mutiara dan Bas Percuma mendapat sambutan menggalakkan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata dengan penggunaan Pas Mutiara, perkhidmatan bas Rapid Penang adalah percuma di seluruh Pulau Pinang.

“Kerajaan negeri mula membiayai Pas Mutiara sejak 1 Mac 2021 dan setakat November lepas, sebanyak 246,934 pas telah dilanggani atau diperbaharui sepanjang tahun ini dengan purata kira-kira 22,448 langganan sebulan.

“Penggunaan Pas Mutiara sememangnya semakin mendapat sambutan memberangsangkan, jumlah pembelian kad Pas Mutiara kian meningkat dan bilangan penumpang juga menunjukkan peningkatan yang baik pada setiap bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata impak positif pengangkutan awam akan terus dirasai pada tahun berikutnya terutama apabila projek-projek mega di Pulau Pinang dalam fasa pembinaan.

Sementara itu, Zairil berkata kerajaan negeri juga mengekalkan 15 bas percuma CAT Bridge bagi 2026 dan 10  bas untuk laluan CAT 13, iaitu dari Seberang Jaya ke Bayan Lepas serta lima bas bagi laluan CAT 14, dari Bukit Mertajam ke Komtar.

Beliau berkata kerajaan negeri yakin pembiayaan subsidi melalui pengangkutan awam itu mampu menjadi pemangkin bagi menarik lebih banyak penduduk Pulau Pinang beralih kepada pengangkutan awam sebagai mod pengangkutan pilihan berbanding kenderaan persendirian.

“Secara tidak langsung, dengan subsidi langganan Pas Mutiara My50 itu juga, pengguna bakal meraih penjimatan kos seperti petrol, parkir dan bayaran tol,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan