DUNIA

LELAKI DIDAKWA BERHUBUNG RANCANGAN SERANGAN TEMBAKAN DI SYDNEY

30/12/2025 06:07 PM

SYDNEY, 30 Dis (Bernama-Xinhua) -- Seorang lelaki berusia 24 tahun didakwa berhubung rancangan untuk melakukan serangan tembakan di kawasan awam di barat daya Sydney, kata polis pada Selasa, lapor Xinhua.

Pasukan polis negeri New South Wales (NSW) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa lelaki itu ditahan pada Isnin oleh detektif yang menyiasat dakwaan rancangan melakukan serangan tembakan di kawasan awam di barat daya Sydney.

Susulan siasatan, pegawai polis melaksanakan waran geledah di sebuah kediaman di Fairfield West, kira-kira 26 kilometer di barat Sydney, pada lewat Ahad malam.

Ketika pemeriksaan, polis dipercayai menemui dan merampas dadah terlarang serta sebuah telefon bimbit. Sebuah lagi telefon dirampas dalam satu lagi serbuan di sebuah kediaman di kawasan berhampiran Greenacre pada Isnin, dan lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di rumah di Fairfield West pada malam sama.

Dia kemudian dibawa ke balai polis dan didakwa atas beberapa pertuduhan termasuk memiliki pistol tanpa kebenaran, melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kecederaan parah, mengarah aktiviti kumpulan jenayah serta merekrut individu lain untuk membantu melaksanakan kegiatan jenayah.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan