JENAYAH & MAHKAMAH

GENG RAMES DIDAKWA DI MAHKAMAH

30/12/2025 02:23 PM

SUNGAI PETANI, 30 Dis (Bernama) -- Sebanyak 20 lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Rames sejak Januari tahun lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua lelaki tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Najwa Che Mat, kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kesemua mereka ialah G. Magen, S. Tanesh, R. Shargunan, S. Kanesram, V. Mathavan, J. Thanes, V. Yanasegar, Paramasivan, G. Yuvaraj, M. Ponggiswaran, P. Puganeswaran, S. Nagarajan, R. Gobinath, R. Kumareasan, R. Puvaneswaran, P. Kathiresan, K. Kesavan, S. Delhipraj, V. Navin Kumar dan T. Vivegananth.

Kesemua mereka yang berusia 24 hingga 42 tahun itu, didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang “Geng Rames” antara Januari 2024 hingga 4 Dis lepas di Kampung Sungai Division dalam daerah Kuala Muda, dekat sini.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim manakala tertuduh diwakili peguam RSN Rayer, S. Meharaj, P. Vaasudevan dan Muhammad Adam Burhanuddeen.

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 29 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, peguam tertuduh telah memohon mahkamah membenarkan anak guam mereka bertemu ahli keluarga di mahkamah dan permohonan itu dibenarkan oleh hakim.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan