AM

LTAPP LAKSANAKAN SISTEM NIISE, PROSES PELEPASAN IMIGRESEN LEBIH PANTAS

30/12/2025 01:29 PM

GEORGE TOWN, 30 Dis (Bernama) -- Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sedang menjalani Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) dan ujian masa nyata di  kawasan pelepasan, bermula semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai, berkata beliau dimaklumkan oleh pengurus LTAPP bahawa sistem autogate lama di kawasan pelepasan antarabangsa telah dihentikan operasi kira-kira seminggu lalu.

"Sistem autogate baharu NIISe kini telah dipasang dan ujian masa nyata bermula semalam. Sebanyak lima autogate baharu sedang diuji, dan pemegang pasport Malaysia boleh menggunakan sistem ini untuk pelepasan keluar negara.

“Manakala pemegang pasport asing masih perlu menggunakan kaunter buat sementara waktu. Berdasarkan maklum balas pengguna, proses pelepasan mengambil masa kurang daripada 10 saat, lebih pantas berbanding sistem lama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sistem autogate baharu itu dijangka melengkapkan ujian sepenuhnya dan mula digunakan secara rasmi pertengahan Januari nanti. Apabila beroperasi, ia akan membolehkan rakyat Malaysia dan pelancong dari 63 buah negara mempercepatkan proses pelepasan imigresen.

Wong berkata selain itu, pihak berkenaan juga merancang untuk memasang sistem baharu ini di kawasan ketibaan antarabangsa, dengan kerja-kerja berkaitan dijangka dilaksanakan pada suku pertama tahun depan.

Katanya sebelum ini, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah mengumumkan pemasangan sistem baharu di LTAPP bagi mengurangkan kesesakan berpanjangan di kawasan antarabangsa.

"Antara punca utama kesesakan di kawasan antarabangsa LTAPP ialah jumlah pintu automatik imigresen sedia ada yang tidak mencukupi dan hanya boleh digunakan oleh warga Malaysia. Namun, dengan peningkatan berterusan penerbangan dan penumpang antarabangsa, jumlah penumpang antarabangsa kini telah melebihi penumpang domestik, menjadikan sistem lama tidak lagi mampu menampung keperluan semasa," katanya.

Beliau berkata MAHB telah bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk melaksanakan projek NIISe yang akan menaik taraf sistem lama kepada sistem baharu.

“Sistem ini boleh digunakan oleh pelancong dari 63 buah negara termasuk tambahan tujuh negara ASEAN serta warganegara Malaysia, bagi meningkatkan kecekapan pengurusan penumpang secara keseluruhan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan