Oleh Habsah Ismail
KOTA BHARU, 29 Dis (Bernama) -- Apa yang lazimnya berakhir di tong sampah kini diberi nilai baharu, apabila kulit telur dimanfaatkan sebagai baja organik melalui inisiatif kitar semula yang bukan sahaja menyokong kelestarian alam sekitar malah menjadi medium terapi, pembelajaran dan penyatuan komuniti.
Di Min House Camp, Kubang Kerian di sini, usaha itu menghubungkan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) sindrom Down, pelajar institusi pengajian tinggi dan sukarelawan antarabangsa dalam satu ekosistem pembelajaran berasaskan alam, membuktikan inovasi boleh bermula daripada perkara kecil tetapi memberi kesan besar kepada manusia dan persekitaran.
Presiden Persatuan Sindrom Down Negeri Kelantan Wan Noriah Wan Ramli berkata inovasi berasaskan kulit telur di Min House Camp itu dilaksanakan di bawah persatuan berkenaan yang kini memasuki tahun ke-10 penubuhannya dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Beliau yang juga pemilik Min House Camp berkata program berkenaan menerima Dana Memperkasa OKU Sindrom Down bagi 2026, dengan satu daripada komponen utama memfokus kepada penghasilan baja organik dan kompos menggunakan bahan semula jadi.
“Antara bahan yang diketengahkan ialah kulit telur kerana kebiasaannya ia dibuang, sedangkan kandungan kalsiumnya sangat baik untuk kesuburan tanah dan pertumbuhan tanaman,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bagi menyokong pelaksanaan program itu, Min House Camp menjalin kerjasama dengan beberapa sekolah, termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peir Chih dan Sekolah Kebangsaan Kedai Piah yang mengumpul serta menyumbangkan kulit telur kering untuk digunakan dalam aktiviti kompos.
Wan Noriah berkata bahan tersebut dimanfaatkan dalam aktiviti bersama anak-anak OKU sindrom Down, bukan sahaja bagi menghasilkan baja malah sebagai latihan motor halus melalui aktiviti menumbuk dan menghancurkan kulit telur.
“Amalan ini boleh diteruskan di rumah kerana kulit telur dari dapur boleh terus digunakan sebagai baja, sekali gus membuka minda komuniti supaya lebih menghargai sumber yang sering dianggap sisa,” katanya.
Beliau berkata program itu turut disokong pelajar institusi pengajian tinggi, termasuk tiga pelajar Universiti Malaysia Kelantan dan dua lulusan Politeknik Kota Bharu daripada pelbagai bidang seperti pertanian, alam sekitar dan pelancongan yang menjalani khidmat komuniti secara bergilir di lokasi berkenaan.
Mengulas lanjut, Wan Noriah berkata Min House Camp turut berdaftar sebagai destinasi agropelancongan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan pendekatan “kembali ke alam semula jadi” yang menekankan penggunaan input organik sepenuhnya tanpa baja atau bahan kimia.
Beliau berkata hingga kini, lebih 1,100 kilogram kulit telur telah dikumpulkan hasil sumbangan sekolah, kediaman persendirian, restoran dan hotel, yang akan dikeringkan terlebih dahulu sebelum digunakan.
“Inisiatif ini bukan bertujuan menjana keuntungan kerana kami tidak menjual hasil tanaman atau baja, sebaliknya mengamalkan konsep pertukaran ilmu dan bahan bagi mendidik komuniti tentang penjimatan kos, penjagaan alam sekitar dan kehidupan yang lebih harmoni,” katanya.
Tambah beliau melalui Inisiatif Resort Benih Komuniti itu, amalan perkongsian benih organik dan kitar semula diyakini mampu membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan serta tidak bergantung sepenuhnya kepada sumber komersial.
Sementara itu, sukarelawan dari Maghribi, Elias Azzakriti, 27, menyifatkan penglibatannya dalam program berkenaan sebagai pengalaman baharu yang membuka perspektif terhadap amalan kelestarian alam sekitar.
“Sebelum ini saya tidak tahu kulit telur boleh digunakan sebagai baja organik walaupun negara saya turut mengamalkan gaya hidup tradisional. Ini satu ilmu yang berguna juga untuk saya,” katanya.
Seorang lagi sukarelawan, Anas Zehti, 26, berkata proses kitar semula itu melibatkan pemotongan kulit telur kepada kepingan kecil sebelum dimasukkan ke dalam tanah bagi membantu pembentukan struktur tanah yang lebih subur secara semula jadi.
Beliau berkata kaedah itu bukan sahaja mesra alam malah menjimatkan kerana tidak perlu lagi untuk membeli baja bagi menyuburkan tanaman.
-- BERNAMA
