Oleh Suraidah Roslan
KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan Peruntukan Deeming ke atas semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar berkuat kuasa 1 Jan 2026 memberi kelegaan kepada ibu bapa yang berdepan cabaran membesarkan anak dalam era digital.
Menyifatkan langkah itu bukan sekadar perubahan dasar, rata-rata ibu bapa berpandangan pendaftaran automatik penyedia perkhidmatan yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia adalah wajar, selaras dengan keperluan pemantauan menyeluruh terhadap aktiviti digital kanak-kanak.
Guru, Ramlah Abd Rahman, 40, berkata sebagai seorang ibu, beliau melihat langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu tepat dalam melindungi kanak-kanak daripada terdedah kepada risiko dunia digital, khususnya kandungan yang memudaratkan.
“Ia bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan, malah membantu membentuk ekosistem internet yang lebih bertanggungjawab, teratur dan mesra pengguna muda.
“Kawalan sebegini penting bagi memastikan akses kepada kandungan yang sesuai dan selamat untuk kanak-kanak,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, pembantu teknikal Nor Mohd Shahril Md Ariffin, 41, berkata langkah mewajibkan pendaftaran penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar mampu mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat dan beretika.
Sebagai bapa kepada dua anak berusia lima dan lapan tahun, beliau menyokong penuh langkah itu bagi memastikan semua platform terlibat memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak.
“Walaupun kami tidak memberikan akses telefon bimbit kepada anak-anak, mereka masih terdedah kepada penggunaan internet melalui platform seperti YouTube.
“Selain itu, anak-anak tidak bersama kami sepanjang masa kerana kebanyakan masa dihabiskan di sekolah, sekali gus terdedah kepada penggunaan internet melalui telefon bimbit rakan,” katanya.
Berkongsi pandangan sama, guru sekolah Nik Nurul Haslinda Nik Abd Razak, 40, berkata Peruntukan Deeming dilihat mampu mengawal aktiviti buli siber serta menapis kandungan internet yang tidak sesuai untuk kanak-kanak dan remaja.
Menurutnya, kawalan terhadap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial boleh memberi manfaat kepada murid sekolah yang berisiko terdedah kepada kandungan digital yang tidak sihat.
“Dengan pelaksanaan Peruntukan Deeming ini, tahap keselamatan murid ketika menggunakan internet dan media sosial dapat dipertingkatan. Pada masa sama, ibu bapa juga perlu memainkan peranan aktif memantau aktiviti anak-anak di media sosial,” katanya.
Pada 15 Dis lepas, MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan secara automatik dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] bermula 1 Jan 2026.
Pelaksanaan itu dibuat menerusi Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
MCMC berkata langkah berkenaan bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka undang-undang serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.
-- BERNAMA
