AM

SATU TELEFON SETIAP ENAM SAAT, XIAOMI BUKTIKAN KECEKAPAN PENGILANGAN PINTAR

28/12/2025 11:25 AM

Daripada Chiang Hee Tze

BEIJING, 28 Dis (Bernama) -- Hanya enam saat diambil untuk satu kerdipan, membuka telepon atau beberapa kali degupan jantung, tempoh itu juga yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah telefon pintar di kilang pintar Xioami di Changping, di sini. 

Di kilang berkenaan, kitaran enam saat itu melambangkan ketepatan industri dan penyelarasan sistem, dengan proses ujiannya merangkumi penentukuran autofokus kamera secara automatik, pemeriksaan kecerahan dan warna paparan, prestasi bateri serta pengurusan haba, kesemuanya disiapkan dalam tempoh tersebut bagi menjamin kualiti pada setiap peringkat pembuatan.

Barisan pengeluarannya yang sangat automatik dan didigitalkan, lengan robot menjalankan operasinya dengan ketepatan tinggi manakala sistem bersepadu mengendalikan penentukuran masa nyata, dan dalam setiap enam saat sebuah telefon pintar melengkapkan fasa pengeluaran kritikalnya sebelum “keluar dari barisan”, menjadi bukti kecekapan fasiliti serta keupayaan pembuatan termaju.

Pada awal Disember, buat pertama kali Xiaomi telah membuka kilang telefon pintarnya di Changping untuk lawatan media asing, khususnya dari Asia Tenggara bagi memperlihatkan tahap automasi tinggi dan sistem yang dibangunkan sendiri, sekali gus menonjolkan piawaian pembuatan dan kebolehpercayaan produknya menjelang pelancaran telefon pintar REDMI generasi baharu.

Kilang telefon pintar yang dipacu oleh Platform Pembuatan Pintar Hiper (IMP) Xiaomi itu, memantau secara automatik semua peringkat pengeluaran termasuk kecekapan, kualiti dan keabnormalan, serta menjejak inventori bahan secara masa nyata, dan mencetuskan pengisian semula automatik bagi memastikan pengeluaran tinggi dengan kualiti yang konsisten.

Pengarah Pemasaran REDMI, Jabatan Pemasaran Antarabangsa Xiaomi Cynthia Chen memberitahu Bernama semasa lawatan tersebut, walaupun Xiaomi merupakan jenama yang dikenali ramai kebanyakan mereka tidak tahu mengenai aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang meluas serta berterusan di sebalik setiap produk.

Beliau berkata R&D berintensiti tinggi yang dijalankan secara berterusan menjadi asas kepada pembangunan jangka panjang Xiaomi dari segi kebolehpercayaan produk, pembuatan dan inovasi, selain sejak 2016 syarikat itu juga telah menubuhkan secara strategik rangkaian makmal canggih global bagi memperkukuh keupayaannya.

Chen berkata rangkaian itu kini merangkumi lebih 730 makmal di 11 bandar seluruh dunia, meliputi keluasan lebih 40,000 meter persegi, dengan Makmal Kampus Xiaomi Beijing yang dirasmikan pada Oktober 2019 berfungsi sebagai fasiliti utama. 

Kampus tersebut menempatkan lebih 140 makmal individu dalam kawasan seluas 12,000 meter persegi untuk menyokong R&D secara menyeluruh merentasi pelbagai bidang termasuk akustik, RF, reka bentuk antena, EMC, jalur asas (baseband), mekanikal, optik, kawalan sentuhan, reka bentuk termal, penggunaan kuasa, keupayaan bateri dan kestabilan perisian.

Bagi tempoh tiga suku pertama 2025, Xiaomi telah melabur 23.5 bilion yuan China (RM13.53 bilion) dalam R&D, hampir menyamai jumlah perbelanjaan keseluruhan bagi 2024, dengan perbelanjaan pada suku ketiga sahaja mencecah 9.1 bilion yuan iaitu meningkat 52.1 peratus sekali gus mencatat rekod tertinggi. 

Meliputi keluasan tapak keseluruhan 81,000 meter persegi, kilang telefon pintar itu memberi tumpuan kepada pengeluaran telefon utama dan merupakan kilang pintar berskala besar milik sendiri pertama Xiaomi, sekali gus menjadi pencapaian paling penting dalam perjalanan pembuatan pintar syarikat tersebut. 

Dengan lebih 96.8 peratus perkakasan dan keseluruhan perisian pembuatan dibangunkan sendiri, kilang itu membolehkan pengeluaran yang berkecekapan tinggi dan tepat, dengan purata satu telefon pintar bagi setiap enam saat serta kapasiti tahunan hingga 10 juta unit. 

Pemerhatian Bernama mendapati Platform Kawalan Automatik Xiaomi merangkumi operasi peralatan, ujian aliran kerja, pemeriksaan penglihatan mesin serta pengimbangan barisan pengeluaran bagi mencapai tahap automasi tinggi yang mengurangkan campur tangan manual dengan ketara sambil meningkatkan kecekapan dan konsistensi secara keseluruhan.

Chen berkata kadar automasi kilang sebanyak 81 peratus bagi menjamin produktiviti selain meminimumkan risiko operasi. Walaupun Xiaomi menyasarkan sifar kerosakan, syarikat itu kini mengekalkan kadar penghasilan sebanyak 99 peratus, melebihi piawaian industri iaitu 98 peratus, sekali gus mencerminkan tahap pembuatan dan kualiti yang tinggi.

Dalam laporan kewangan suku ketiga 2025, Xiaomi telah mencatatkan pendapatan melebihi 100 bilion yuan untuk empat suku berturut-turut, dengan hasil meningkat 22.3 peratus kepada 113.1 bilion yuan manakala keuntungan bersih mencapai paras tertinggi sebanyak 11.3 bilion yuan, iaitu meningkat 80.9 peratus.

Menurut laporan pasaran antarabangsa Canalys, bagi suku ketiga 2025 Xiaomi menguasai 14 peratus pasaran telefon pintar global, kekal dalam kelompok tiga teratas selain terus mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran Asia Tenggara, dan di Malaysia khususnya syarikat itu mengekalkan kedudukan teratas dengan menguasai 21 peratus pasaran. 

Sementara itu, delegasi media turut berpeluang melawat kilang kenderaan elektrik (EV) Xiaomi di Zon Pembangunan Ekonomi dan Teknologi Beijing (Beijing E-Town), menyaksikan pendekatan “Technology-First” syarikat itu, dengan lebih 700 robot beroperasi secara sangat terselaras dan tepat. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan