KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) tidak akan mengenakan penalti bagi tahun pertama pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) yang bermula 1 Jan tahun hadapan, bagi memberikan ruang kepada orang awam menyesuaikan diri dengan sistem baharu itu.
Pengarah Jabatan di Jabatan Operasi Setem dan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) LHDN Shafudin Yacob berkata pelaksanaan STSDS fasa pertama hanya melibatkan surat cara di bawah kategori Penyetemen Am, Sekuriti dan Sewa atau Pajakan.
“Pengguna perlu mengisi Borang Nyata Duti Setem (BNDS) melalui sistem e-Duti Setem (e-DS) dan memasukkan maklumat surat cara bagi tujuan pengiraan duti.
“Namun, jangan bimbang kerana walaupun duti setem akan ditaksir sendiri oleh pemohon, formula pengiraan duti yang telah disetkan dalam sistem e-DS yang akan membantu pemohon menaksir sendiri duti setem berdasarkan maklumat yang dimasukkan semasa pengisian BNDS,” katanya ketika menjadi tetamu segmen Klinik Cukai di Bernama Radio.
Dalam pada itu, Shafudin memberitahu tiada pengenaan penalti ke atas surat cara yang disetem di bawah STSDS bagi kesalahan mengemukakan BNDS yang tidak betul, termasuk kesalahan memberikan maklumat tidak tepat berhubung dengan apa-apa perkara yang memberikan kesan kepada pengenaan duti setem.
“Saya percaya, orang ramai bimbang apabila mereka perlu mentaksir sendiri duti setem berbanding sebelum ini. Saya juga faham bahawa ini ialah tahun pertama pelaksanaan STSDS, justeru bukanlah hasrat kami untuk mencari kesalahan dan terus menghukum,” katanya.
Selain itu, beliau berkata semua permohonan penyeteman perlu dibuat melalui Portal MyTax sebagai pintu masuk tunggal bagi memastikan keselamatan data pengguna dan penyelarasan urusan percukaian.
Bagi membiasakan pengguna dengan kaedah STSDS, LHDN telah membuka serta membenarkan pengujian log masuk ke sistem e-DS melalui Portal MyTax bermula 17 hingga 31 Dis ini, memberi mereka cukup masa dan ruang untuk mencubanya.
Shafudin turut memaklumkan bahawa kaedah pembayaran duti stem masih dikekalkan seperti sebelum ini, iaitu pembayaran boleh dibuat secara dalam talian melalui platform FPX.
Beliau juga mengingatkan bahawa sijil setem yang telah dikeluarkan oleh LHDN hanya boleh dimuat turun sekali sahaja dan sekiranya sijil setem didapati hilang, rosak atau memerlukan salinan tambahan, permohonan cetakan semula perlu dibuat.
“Duti setem bukan hanya bayaran, tetapi pengesahan sahnya dokumen pada sisi undang-undang. Tanpa duti setem, dokumen boleh dianggap tidak sah dan sukar diterima dalam urusan rasmi, termasuk di mahkamah,” katanya.
-- BERNAMA
