AM

SAMBUTAN KRISMAS MERIAH DENGAN UPACARA KEAGAMAAN, AKTIVITI BERSAMA KELUARGA

25/12/2025 01:28 PM

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Sambutan Krismas di seluruh negara diraikan meriah oleh penganut Kristian dalam suasana harmoni, dengan melaksanakan upacara keagamaan dan tradisi perayaan pada hari ini.

Di KUALA LUMPUR, tinjauan Bernama mendapati kira-kira 1,000 penganut Kristian warga tempatan dan asing menghadiri upacara keagamaan di Church of Our Lady of Fatima, Brickfields seawal 8 pagi bagi meraikan perayaan berkenaan.

Paderi Sebestin Arputharaj berkata upacara sembahyang Krismas di gereja dengan dekorasi serta pokok Krismas yang menjadi tumpuan pelancong itu dijalankan dalam empat sesi bermula malam tadi, sehingga kira-kira 12 tengah hari ini.

“Sambutan Krismas bukan sekadar perayaan, tetapi satu masa untuk memperkukuhkan nilai kasih sayang, keamanan dan perpaduan sesama masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Di SELANGOR, suasana kemeriahan memenuhi Gereja Our Lady of Lourdes di Klang dengan kehadiran keluarga dan sahabat handai berkumpul bagi menghadiri upacara keagamaan di pekarangan gereja yang berusia hampir 100 tahun itu, yang turut dihias indah bagi menambah semangat sambutan perayaan itu.

Seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Jalla, 67, dari Klang berkata tradisi keluarganya menyambut perayaan itu tetap dijalankan meskipun beliau beragama Hindu.

“Keluarga kami sambut semua perayaan kerana itu adalah semangat perpaduan yang diterapkan dalam negara ini. Setiap perayaan mempunyai kegembiraan tersendiri. Lagipun, ramai ahli keluarga kami yang berkahwin campur,” katanya ketika ditemui di pekarangan gereja itu hari ini.

Di MELAKA, beberapa lokasi seperti Perkampungan Portugis dan gereja ikonik bersejarah di Bandar Hilir, Gereja St Francis Xavier dilihat meriah dengan kejadiran penganut agama Kristian sejak awal pagi bagi upacara keagamaan. 

Seorang pengunjung, Marilyn Cheah berkata beliau meraikan Krismas di Melaka kerana kebetulan bercuti di negeri itu sebelum menuju ke Pulau Pinang.

"Semalam, saya bertolak dari Johor dan ambil kesempatan singgah di Perkampungan Portugis untuk menziarahi saudara yang tinggal berhampiran. Memang meriah dan kami sama-sama pergi berdoa di gereja berhampiran pada malam tadi selepas itu balik rumah dan makan menu istimewa yang disediakan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Datuk Seri Abd Rauf Yusof turut, merakamkan ucapan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada semua penganut agama Kristian terutama di Melaka, serta mengharapkan sambutan pada tahun ini diraikan dengan penuh kegembiraan, kedamaian dan mampu mengukuhkan semangat perpaduan serta keharmonian.

Di NEGERI SEMBILAN, perayaan Krismas disambut meriah sejak malam tadi diikuti upacara keagamaan seawal 7.30 pagi dengan kehadiran lebih 1,000 penganut Kristian ke gereja The Visitation Seremban bagi melaksanakan upacara sembahyang.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun melalui catatan di Facebook, berharap seluruh rakyat di negeri itu memanfaatkan cuti perayaan Hari Natal bagi memperkukuh hubungan kekeluargaan, persahabatan dan perpaduan secara harmoni.

Di JOHOR, Gereja Immaculate Conception di Johor Bahru menjadi tumpuan penganut kristian seawal 7.30 pagi dengan masing-masing hadir bersama keluarga dan sanak saudara mengenakan pakaian sopan serta berwarna-warni.

Paderi Claurence Motoyou Ofm berkata dianggarkan lebih 3,500 orang hadir ke gereja itu secara berperingkat bagi melaksanakan upacara keagamaan.

Di PAHANG, cuti umum dimanfaatkan masyarakat pelbagai bilang kaum di Kuantan mengeratkan hubungan kekeluargaan berkunjung ke pusat beli belah di samping merakam video dan gambar kenangan dengan dekorasi sambutan Krismas yang meriah.

Pusat beli-belah di negeri ini turut dihiasi lampu berwarna-warni dan perhiasan Krismas yang ceria, sekali gus menarik minat pengunjung daripada pelbagai lapisan umur.

Di TERENGGANU, Gereja Presbyterian di Kuala Terengganu menjadi tumpuan kira-kira 200 penganut Kristian di negeri itu yang hadir sejak 9.30 pagi bagi menyempurnakan upacara keagamaan dengan berpakaian ceria dan serba baharu.

Pemilik sebuah kafe, Hee Jee Keat, 64, berkata dia turut membawa bapanya, Hee Wan Lan, 90, yang berkerusi roda untuk bersama-sama menyambut perayaan itu di gereja berkenaan bagi upacara keagamaan, nyanyian serta jamuan makan.

Di KEDAH, orang ramai memanfaatkan cuti perayaan dengan mengunjungi pusat beli-belah sejak pukul 10.30 pagi bersama ahli keluarga, selain tidak melepaskan peluang bergambar dengan perhiasan Krismas yang disediakan.

Jomanda Hong, 31, dari Kampung Berjaya, Alor Setar, berkata ini merupakan kali pertama beliau menyambut Krismas di kampung suaminya dan berasa sangat teruja merasai suasana perayaan di sana.

“Kami baru berkahwin pada Mei lalu, jadi ini kali pertama saya sambut Krismas di kampung suami. Selama ini, saya sambut Krismas di Kuala Lumpur dengan suasana yang sangat meriah, tetapi di sini lebih tenang dan memang satu pengalaman baru.

“Pagi tadi, kami sekeluarga saling bertukar hadiah dan ucapan Krismas. Selepas itu, kami keluar berjalan di pusat beli-belah untuk makan dan menyaksikan persembahan yang disediakan,” katanya.

Di PERAK, penglibatan aktif golongan muda menyemarakkan sambutan Hari Krismas di Church of St Joseph, Batu Gajah, apabila mereka menjadi antara penggerak utama persiapan dan pengisian perayaan yang bertapak lebih 97 tahun di gereja bersejarah itu.

Naib Presiden Belia gereja berkenaan, J. Regina, 22, berkata sambutan Krismas bukan sahaja memperingati kelahiran Jesus Kristus, malah menjadi platform untuk menyemai nilai kasih sayang, harapan dan perpaduan dalam kalangan generasi muda daripada pelbagai latar belakang.

Beliau berkata kira-kira 20 anak muda terlibat secara langsung dalam menghias dan menyiapkan ruang ‘worship’ selama hampir sebulan, sekali gus membantu mereka menghayati makna sebenar Krismas serta memperkukuh hubungan dengan komuniti dan tuhan.

Di PULAU PINANG, lebih 5,000 penganut Kristian mengunjungi Minor Basilica of St. Anne di Bukit Mertajam seawal 7 pagi bagi menjalani upacara keagamaan sempena perayaan Krismas.

Pentadbir gereja berkenaan Diakon Lazarus Jonathan berkata gereja berkenaan dipenuhi ribuan penganut sejak semalam lagi bagi mengikuti upacara misa dalam Bahasa Mandarin dan Inggeris yang turut diteruskan hari ini dalam Bahasa Tamil bermula 8 pagi dan diikuti Bahasa Melayu.

“Sambutan Krismas tahun ini lebih istimewa kerana ia merupakan sebahagian daripada Jubli Harapan (Jubilee of Hope) yang bermula pada malam Krismas 2024 dan berakhir 6 Jan tahun depan bertemakan Pengharapan Tidak Mengecewakan (Hope does not disappoint),” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan