AM

JAS JOHOR BONGKAR KEGIATAN PEMBAKARAN TERBUKA KILANG KEJURUTERAAN

25/12/2025 11:54 AM

JOHOR BAHRU, 25 Dis (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor membongkar aktiviti pembakaran terbuka pelbagai jenis sampah yang dilakukan sebuah kilang kejuruteraan di Kawasan Perindustrian Maju Jaya di sini semalam.

JAS menerusi hantaran di Facebook memaklumkan kegiatan itu dikesan menerusi Operasi Pemantauan Bersepadu bersama pelbagai agensi, susulan aduan gangguan bau hangit yang dilaporkan di beberapa kawasan di daerah berkenaan sejak 22 Dis lepas.

Menurut JAS, walaupun aktiviti pembakaran terbuka itu dikenal pasti bukan punca utama bau hangit yang dilaporkan, tindakan penguatkuasaan tetap diambil tanpa sebarang kompromi.

“Susulan itu, JAS mengambil tindakan tegas di bawah Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” menurut hantaran itu.

Operasi sama diteruskan dengan serbuan ke atas sebuah premis kitar semula barang lusuh di Jalan Kempas Lama, yang didapati melakukan kesalahan serius kerana memiliki dan menyimpan buangan terjadual (e-waste) secara haram.

Menurut JAS, tindakan penguatkuasaan yang sama telah diambil ke atas stor penyimpanan buangan terjadual tanpa permit itu.

“Majlis Bandaraya Johor Bahru turut mengenakan tindakan susulan mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan,” menurut hantaran itu.

Hasil pemeriksaan bagaimanapun mendapati tiada bau abnormal seperti bau hangit dikesan di lokasi berkenaan.

Justeru, JAS menegaskan operasi dan pemantauan akan terus dipergiat sehingga punca utama pencemaran bau hangit itu dikenal pasti serta ditangani sepenuhnya.

Orang ramai diseru menyalurkan maklumat, bukti bergambar atau lokasi mencurigakan berkaitan aktiviti pencemaran, melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel ke aduan_k@doe.gov.my atau portal aduan di https://eaduan.doe.gov.my.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan