KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki dan wanita tempatan bagi membantu siasatan berhubung video tular di media sosial memaparkan individu bertudung minum minuman keras.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 24 tahun itu ditahan kira-kira 4.30 petang tadi di kawasan Subang Jaya, dekat sini.
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati individu yang memakai tudung dan minum minuman keras dalam rakaman video tersebut adalah seorang lelaki.
“Polis mengesahkan menerima laporan berhubung video terbabit dan sedang disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan polis akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang dengan sengaja tidak menjaga sensitiviti keagamaan dan mewujudkan suasana tidak harmoni.
“Orang ramai digesa supayamenjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta elakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan, khususnya melibatkan isu 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja,” katanya.
-- BERNAMA
