KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh hampir 16 bulan hari ini meneruskan kenaikannya bagi sesi dagangan kelima berturut-turut susulan penyertaan kukuh dalam pasaran dan sentimen domestik yang semakin baik.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.67 mata, atau 0.10 peratus, untuk ditutup kepada 1,678.31 daripada paras 1,676.64 pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah turun 0.64 mata kepada 1,676.0 sebelum pulih semula mencecah paras tertinggi intra harinya pada 1,678.85 semasa sesi awal dagangan.
Indeks itu kemudiannya hilang momentum seketika turun ke paras terendah 1,673.64 pada sesi petang, sebelum kembali meningkat menjelang sesi penutup dagangan.
Keseluruhan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 500 berbanding 483 manakala 584 kaunter tidak berubah, 1,206 tidak diniagakan dan 50 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.04 bilion unit bernilai RM1.70 bilion daripada 1.96 bilion unit bernilai RM1.81 bilion pada Selasa.
Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup pada 25 Disember 2025, sempena cuti umum Hari Krismas dan pada 1 Januari 2026, bagi cuti Tahun Baru.
Broker ekuiti dalam talian Rakuten Trade Sdn Bhd percaya peluang pelaburan menjadi semakin selektif ketika pasaran menghampiri penghujung tahun dengan penggunaan tradisional sempena musim perayaan terus menjadi faktor yang boleh menyokong sektor terpilih sehingga akhir tahun dan awal 2026.
Ketua penyelidikannya, Kenny Yee, berkata keadaan pasaran masih positif dan menyokong pertumbuhan tetapi masih kekal berhati-hati dan kurang mengambil risiko menjelang akhir tahun.
“Kita melihat penyertaan kukuh, yang merupakan petanda positif bagi kestabilan pasaran secara keseluruhan. Ringgit yang kukuh juga bertindak sebagai pemangkin, menarik pulangan dana asing.
“Dalam persekitaran ini, pelabur harus memberi tumpuan kepada syarikat yang mempunyai pemacu permintaan yang jelas, margin yang berdaya tahan serta penggunaan berulang dan bukannya pergerakan pasaran jangka pendek,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional turun enam sen masing-masing kepada RM10.48 dan RM13.60, CIMB susut tujuh sen kepada RM8.11, Public Bank tidak berubah pada RM4.52 manakala IHH Healthcare meningkat lima sen kepada RM8.67.
Dalam kalangan saham paling aktif, Pharmaniaga dan Velest susut setengah sen masing-masing kepada 29 sen dan 27.5 sen. Tanco turun empat sen kepada RM1.11 dan Ekovest berkurangan 2.5 sen kepada 28.5 sen, manakala Zetrix AI naik setengah sen kepada 82 sen.
Dalam kalangan kaunter paling untung, United Plantations meningkat 46 sen kepada RM29.86, Petronas Gas menambah 28 sen kepada RM18.28, Hong Leong Financial naik 22 sen kepada RM18.98, dan Gamuda mengukuh 13 sen kepada RM5.10.
Dalam kalangan saham paling rugi, Fraser & Neave susut 54 sen kepada RM36.0, Malaysian Pacific Industries turun 32 sen kepada RM32.42, Nestle berkurangan 20 sen kepada RM115.10 dan Petronas Dagangan merosot 14 sen kepada RM19.62.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 4.43 mata kepada 12,305.91, Indeks FBM Top 100 naik 7.06 mata kepada 12,107.54, Indeks FBM Emas Shariah menokok 28.60 mata kepada 12,134.63, manakala Indeks FBM ACE susut 4.27 mata kepada 4,828.17 dan Indeks FBM 70 turun12.96 mata kepada 16,862.52.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 41.52 mata kepada 19,623.99, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.67 mata kepada 174.01, Indeks Tenaga menokok 0.50 mata kepada 766.68, dan Indeks Perladangan melonjak 44.63 mata kepada 8,278.91.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.15 bilion unit bernilai RM1.55 bilion daripada 1.29 bilion unit bernilai RM1.65 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran melonjak kepada 637.43 juta unit bernilai RM47.11 juta daripada 485.53 juta unit bernilai RM60.47 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 250.65 juta unit bernilai RM95.02 juta daripada 262.36 juta unit bernilai RM96.62 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 193.20 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (236.05 juta), pembinaan (93.97 juta), teknologi (138.64 juta), perkhidmatan kewangan (46.0 juta), hartanah (127.07 juta), perladangan (11.46 juta), amanah pelaburan hartanah (9.07 juta), dana tertutup (14,300), tenaga (90.23 juta), penjagaan kesihatan (135.18 juta), telekomunikasi dan media (30.35 juta), pengangkutan dan logistik (24.89 juta), utiliti (19.52 juta), dan amanah perniagaan (169,300).
-- BERNAMA
