AM

ISU KANDANG LEMBU HARAM PUNCA PENCEMARAN SELESAI SECARA RUNDINGAN

24/12/2025 02:51 PM

GEORGE TOWN, 24 Dis (Bernama) -- Isu kandang lembu haram menyebabkan pencemaran bau dan alam sekitar di kawasan perumahan Changkat Bukit Gambir, di sini selesai melalui rundingan antara wakil penduduk, penternak lembu dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban A. Kumaresan berkata perbincangan berlangsung di pejabatnya hari ini, selain turut melibatkan pertemuan dengan semua pihak terlibat termasuk Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) susulan aduan penduduk perumahan itu.

Beliau berkata Datuk Bandar MBPP Datuk A. Rajendran bersama-sama Ahli Majlis MBPP telah melawat lokasi itu pada 10 pagi tadi dan mendapati kandang menempatkan lebih 10 lembu itu tidak mempunyai kelulusan.

“Kita cuba mencari penyelesaian secara menang-menang termasuk mengambil kira sumber pendapatan penternak dan kesejahteraan penduduk.

“Pemilik kandang pada awalnya hanya menternak dua lembu sebelum membina kandang lebih besar tanpa kelulusan sehingga menimbulkan pencemaran bau dan risiko pencemaran sungai, khususnya ketika hujan,” katanya.

Kumaresan berkata kerajaan negeri merancang menempatkan semua penternak lembu dan kambing di satu kawasan khas di Balik Pulau, jauh dari kawasan perumahan yang dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2026.

Bagaimanapun, beliau berkata hasil persetujuan dicapai, penternak itu diberi tempoh sehingga 31 Jan untuk memindahkan kandang lembunya ke kawasan tersebut bagi menyelesaikan aduan penduduk.

Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Nur Bukit Gambir Noor Salehin Othman berkata penduduk terpaksa menghidu najis lembu yang kuat terutama pada pagi dan petang yang didakwa juga menyebabkan pencemaran air di sungai berhampiran.

“Najis lembu dibuang dua kali sehari dan baunya sangat ketara, terutamanya ketika hujan. Sisa najis mengalir ke sungai kecil dan seterusnya ke sungai besar selain terdapat rumah yang dimasuki air bercampur najis,” katanya.

Noor Salehin berkata kawasan itu mempunyai lebih 300 rumah dan aduan telah dibuat kepada pelbagai pihak termasuk MBPP, Jabatan Alam Sekitar dan ADUN Batu Uban sejak lebih tiga bulan lepas.

Noor Salehin turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan ADUN Batu Uban dan berharap isu itu selesai sepenuhnya dalam tempoh ditetapkan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan