KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Amalan menabung sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan yang bijak bukan sahaja menjamin kesejahteraan keluarga dan kesinambungan pendidikan anak-anak, malah mampu membina ekosistem kewangan yang mampan dalam suasana kos sara hidup semakin mencabar.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata antara pendekatan berkesan termasuk simpanan pendidikan yang teratur dan sistematik seperti Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).
Beliau berkata skim simpanan patuh syariah tanpa sebarang unsur meragukan yang diperkenalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu, menyediakan medium yang selamat dan terjamin buat ibu bapa serta penjaga bagi merancang pendidikan anak-anak.
“Melalui simpanan ini, keluarga dapat merancang kewangan dengan lebih tersusun, menyediakan dana pendidikan anak dan membina tabiat menabung yang konsisten.
“Ia juga menyediakan perlindungan sekiranya berlaku situasi tidak dijangka, seperti kehilangan pekerjaan atau kecemasan, yang boleh menjejaskan kelangsungan pendidikan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Umi Hamidaton berkata keberkesanan skim simpanan pendidikan itu terbukti dengan insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan hingga RM8,000 yang ditawarkan kerajaan kepada ibu bapa atau penjaga yang menyimpan dalam akaun tersebut.
“Simpan SSPN dijamin selamat sepenuhnya oleh kerajaan tanpa melibatkan sebarang risiko tambahan kepada pendeposit,” katanya sambil menambah pelepasan taksiran cukai yang ditawarkan kerajaan adalah bukti keberkesanan dasar kerajaan untuk menggalakkan simpanan.
Beliau berkata Simpan SSPN yang dilengkapi dengan perlindungan takaful, amat bermanfaat kerana mampu mengurangkan beban kewangan sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan selain menyokong pengurusan risiko yang baik untuk jangka panjang.
“Simpan SSPN bagi saya satu hadiah serta cara untuk menzahirkan kasih sayang dan rasa kebertanggungjawaban ibu bapa terhadap anak-anak. Malah pelepasan cukai yang ditawarkan turut menjadi satu nilai tambah untuk menggalakkan Simpan SSPN ini,” katanya.
Beliau berpandangan simpanan awal melalui Simpan SSPN amat penting terutama bagi keluarga yang bercadang menghantar anak melanjutkan pengajian di dalam atau luar negara.
Umi Hamidaton berkata menerusi Simpan SSPN, jelas dapat mengurangkan kebergantungan kepada bantuan fiskal kerajaan serta meminimumkan potensi hutang akibat kos pengajian yang tinggi.
“Ibu bapa juga diminta agar lebih cakna terhadap kepentingan amalan menabung sejak awal.
“Peningkatan yuran pengajian, kos bahan pengajaran dan pembelajaran serta kos sara hidup yang semakin tinggi dijangka memberi tekanan kewangan yang besar kepada generasi akan datang sekiranya tiada perancangan rapi dilakukan,” katanya.
Beliau berkata matlamat utama amalan menabung, terutamanya melalui Simpan SSPN adalah untuk mengelakkan anak-anak menanggung beban hutang jangka panjang selepas tamat pengajian akibat pinjaman pendidikan.
“Amalan menabung oleh ibu bapa juga menjadi contoh teladan yang baik kepada anak-anak dalam aspek pengurusan kewangan di samping membentuk nilai disiplin yang tinggi serta sikap bertanggungjawab terhadap masa depan pendidikan mereka,” katanya.
-- BERNAMA
