KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.3 hingga 4.5 peratus pada 2026, mencerminkan peralihan semakin jelas ke arah pertumbuhan disokong oleh penggunaan isi rumah, aktiviti sektor perkhidmatan dan pembentukan pendapatan dalaman.
Menurut laporan Economic Pulse 2026 IPPFA Sdn Bhd dikeluarkan hari ini, kebanyakan momentum ini adalah hasil daripada dua pemangkin struktur yang akan membentuk trajektori beberapa tahun akan datang, ia adalah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
RMK-13 menyediakan hala tuju jangka sederhana dengan mengutamakan infrastruktur digital, peningkatan industri dan peralihan hijau, manakala VM2026 menyumbang kepada peningkatan segera dalam perkhidmatan, pelancongan dan penggunaan.
Berdasarkan simulasi IPPFA, inisiatif ini berpotensi menyuntik antara RM13 bilion hingga RM21 bilion ke dalam penggunaan swasta, bersamaan peningkatan 1.0 hingga 1.7 peratus dalam kuasa perbelanjaan agregat isi rumah, kata IPPFA dalam satu kenyataan.
“Kesan limpahan dijangka meluas merangkumi perkhidmatan pelancongan, perdagangan runcit, pengangkutan dan makanan, sekali gus menyokong pendapatan pekerja sektor perkhidmatan dan perniagaan kecil tempatan
“Impak pendapatan dijangka memberi manfaat secara menyeluruh, menyokong pekerja sektor perkhidmatan dan perusahaan kecil tempatan dan bukannya tertumpu dalam segmen yang kecil," katanya.
Apa yang penting, IPPFA menekankan peningkatan kualitatif dalam dinamik penggunaan, di mana perbelanjaan pengguna semakin disokong oleh pertumbuhan pendapatan berulang dan kestabilan pasaran buruh dan bukannya langkah fiskal sementara, pengeluaran simpanan atau pengembangan kredit yang pesat.
Menurut kenyataan itu, susulan inflasi sederhana menghampiri dua peratus, kuasa beli sebenar isi rumah semakin stabil, seterusnya mengurangkan pendedahan kepada kejutan kadar faedah dan pendapatan.
Dari segi mata wang, IPPFA menjangkakan ringgit meningkat ke sekitar RM4.05 berbanding dolar AS menjelang akhir 2026, disokong oleh imbangan luaran lebih kukuh, aliran masuk modal yang berterusan dan kejelasan dasar.
Kestabilan mata wang ini membantu meredakan tekanan inflasi import serta memulihkan keyakinan, dengan pergerakan ringgit semakin mencerminkan asas ekonomi sebenar.
Dalam aspek perdagangan, laporan ini menekankan penyesuaian strategik Malaysia dalam persekitaran fragmentasi global, eksport semakin berkembang ke pasaran bukan tradisional seperti Mexico, Kemboja dan Kenya, mencerminkan penyesuaian firma terhadap rantaian bekalan baharu.
Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat dikenal pasti sebagai penambat kestabilan dengan perdagangan dua hala diunjurkan mencecah AS$105.1 bilion menjelang 2028 dalam senario asas IPPFA.
“Melangkah ke depan, IPPFA membuat kesimpulan bahawa ketika ekonomi Amerika Syarikat menyederhana dan ketidaktentuan dasar global berterusan, Asia akan kekal sebagai penambat utama pertumbuhan global.
“Keupayaan Malaysia untuk mengekalkan momentum pertumbuhan akan bergantung kurang kepada faktor luaran dan lebih kepada keberkesanan pelaksanaan dasar,” katanya.
-- BERNAMA
