KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Ranking Harimau Malaya turun ke kedudukan 121 dunia dalam ranking terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Berdasarkan kemas kini terbaharu hari ini, Harimau Malaya mengumpul 1,145.9 mata, jatuh lima anak tangga berbanding ke-116 dunia sebelum ini.
Penurunan ranking itu susulan keputusan FIFA untuk membatalkan dua kemenangan ke atas Singapura pada 4 Sept dan Palestin (8 Sept) manakala satu keputusan seri menentang Cape Verde (29 Mei) selepas Malaysia didapati menurunkan pemain yang tidak layak.
Sehubungan dengan itu, FIFA membuat keputusan Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 0-3 bagi ketiga-tiga perlawanan terbabit.
Selain pengisytiharan kekalahan, FAM turut dikenakan denda sebanyak CHF10,000 (kira-kira RM51,414).
-- BERNAMA
