AM

AGONG TIBA DI UAE BAGI LAWATAN KHAS

22/12/2025 08:47 PM

JOHOR BAHRU, 22 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed, Abu Dhabi, hari ini bagi memulakan lawatan khas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda mendarat pada 11.45 pagi waktu UAE (3.45 petang waktu tempatan).

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Negara di Kementerian Luar UAE Saeed Mubarak Al Hajeri.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke UAE Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin.

Lawatan khas Seri Paduka Baginda ke UAE adalah atas jemputan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Terdahulu, pesawat yang membawa Sultan Ibrahim berlepas dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini pada 9 pagi.

Lawatan yang julung kali diadakan itu adalah sehingga 24 Dis ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan